HULU TERENGGANU: Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi penggunaan vaksin sebanyak 95 peratus, selepas Perlis iaitu 96 peratus bagi seluruh negara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan, tahniah kepada semua petugas di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kerana berada dikedudukkan kedua tertinggi penggunaan vaksin.
Katanya, Perlis berada di tempat pertama peratusan tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain ada yang mencapai 75 peratus.
“Alhamdulillah, negeri Terengganu ini dari segi penggunaan vaksin adalah negeri kedua tertinggi di Malaysia iaitu 95 peratus. Pertama, negeri Perlis 96 peratus dan negeri-negeri lain ada yang 75 peratus.
“Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada semua petugas-petugas kita di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan lain-lain agensi yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan, apa yang sampai kepada kita (vaksin), kita gunakan sebanyak mungkin.
“Sebab, untuk kita mencapai herd Immunity di negeri Terengganu ini, kita perlu suntik seramai 800,000 orang. Sebenarnya, tidak banyak jika kita boleh buat semua kerja, Insya-Allah kita mampu untuk capai. Buat masa ini, Insya-Allah pada kadar 15.33 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al-Muhtadim, Kampung Peradong, Manir, Hulu Terengganu, hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid, Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.
Sehubungan itu, katanya peratusan pendaftaran vaksin di Terengganu agak tinggi pada kadar 55.6 peratus bagi seluruh negeri ini.
“Untuk makluman semua, peratus pendaftaran (vaksinasi) di Terengganu pada kadar 55.6 peratus dan daerah yang paling tinggi ialah daerah Kuala Terengganu iaitu 63.1 peratus. Marang tempat kedua dan daerah Kemaman di tempat ketiga sebanyak 59 peratus.
“Daerah yang paling rendah (pendaftaran) di negeri ini iaitu Besut 45 peratus dan Setiu (44.7 peratus), dan kita minta sangat kepada rakan-rakan, anak-beranak dan ahli keluarga kita yang berada di daerah Besut sila daftar.
“Minta orang-orang kita (Besut) usaha lebih lagi dan Insya-Allah, kerajaan negeri akan buat apa jua untuk memastikan sebanyak mungkin rakyat negeri Terengganu ini dapat menerima suntikan vaksin,” jelasnya.
Dr Samsuri berkata, usaha mempercepatkan suntikan vaksinasi kepada penduduk di negeri ini bagi mengelakkan kedatangan musim tengkujuh.
“Lagi cepat kita boleh suntik, lagi baik kerana kita hendak kejar sebelum monson datang, sebelum musim tengkujuh. Insya’Allah, kita akan dapat keluar daripada cengkaman pandemik ini,” tegasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri bakal menerima penghantaran vaksin yang banyak pada minggu pertama atau kedua Julai ini sebanyak 390,000 dos.
Turut serta berada di PPV Masjid Al-Muhtadim itu, Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr Zuraizi Jaafar. – HARAKAHDAILY 26/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!