Patriotisme harus mengatasi kejelikan, kepentingan diri

- Advertisement -

BEBERAPA tahun lepas, menjelang hari ulang tahun kemerdekaan Republik Indonesia (RI), seorang lelaki Cina warga Malaysia yang bermastautin di negara itu ditangkap, didakwa dan berakhir dengan hukuman penjara.

Awalnya, dia dilaporkan oleh pekerjanya sendiri — seorang warga Indonesia — atas dakwaan menghina Sang Saka Merah Putih, bendera Kebangsaan Republik itu.

Lelaki Malaysia itu seorang Pengurus Ladang. Menjelang sambutan Hari Kebangsaan Republik Indonesia, pekerjanya mencari bendera Indonesia untuk dikibarkan.

- Advertisement -

Oleh kerana bendera Sang Saka tidak ada, pengurus warga Malaysia itu bergurau minta digantungkan seluar dalamnya yang berwarna merah sebagai ganti.

Dia bergurau, namun pekerjanya tersinggung lalu melaporkan perkara itu kepada polis. Pengurus itu ditangkap atas tuduhan menghina bendera Kebangsaan Republik Indonesia.

Demikian patriotisme warga Indonesia yang mengatasi kepentingan diri. Demi maruah bangsa dan negara, dia tidak peduli. Majikannya sendiri diadu kepada pihak berkuasa.

Lazimnya di Indonesia, walau bagaimana sekalipun pertelingkahan sesama warga atas apa jua perbezaan, apabila balik kepada hal maruah bangsa dan negara, mereka sedia untuk bersatu pada bila-bila masa. Jauh sekali untuk menghina negara tidak kira apa kaum atau agama.

Kepentingan dan kemuliaan negara mengatasi segala galanya. Ini yang tidak berlaku pada sesetengah warga Malaysia yang sanggup menterbalikkan bendera negara sendiri, serta pelbagai lagi penghinaan lain. Kebesaran jiwa rakyat Indonesia turut dibuktikan dengan teladan daripada pemimpinnya sendiri.

Umum mengetahui bahawa Presiden Jokowi selepas menewaskan Prabowo Subianto dalam Pilihan Raya Presiden, telah melantik pesaingnya itu sebagai anggota Kabinet. Prabowo diberikan jawatan kanan sebagai Menteri Menteri Pertahanan yang berkuasa ke atas Tentera Nasional Indonesia (TNI), juga Polri (Polis Republik Indonesia).

Dalam konteks ini, kita memahami bahawa sistem politik yang diamalkan kedua-dua negara berbeza, namun ada kes yang boleh dijadikan indikasi patriotisme dalam kalangan ahli politik. Di Malaysia, seorang ahli politik kanan pernah membuat pengakuan kepada media bahawa di luar negara, beliau pernah tidak mengaku dirinya warga Malaysia atas alasan malu dengan pelbagai isu membabitkan pemimpin negara ketika itu.

Ahli politik itu sebaliknya mengaku dari Brunei. Tidak kira apa jua alasan, tidak mengaku diri warganegara adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan. Ini sudah tentu amat menyinggung perasaan rakyat Malaysia lain yang memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air. 

Amat memalukan lebih-lebih lagi membabitkan seorang pemimpin. Di luar negara malu mengaku diri warga Malaysia sebaliknya di dalam negara, canang dipukul konon inilah calon paling layak untuk jadi pemimpin masa hadapan kita.

Dalam beberapa minggu ini, satu lagi contoh tidak baik ditunjukkan oleh ahli politik yang sama. Beliau mempersoalkan fakta dan angka pelaburan asing diluluskan untuk tempoh suku pertama tahun ini, yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebanyak hampir RM43 bilion untuk negeri Kedah.

Persoalan itu dikemukakan walaupun kononnya ‘untuk sama-sama berbangga atas pencapaian negeri’ namun ia tidak lebih sekadar naratif untuk mempertikaikan apa yang dicapai oleh kerajaan hari ini.

Ini mungkin ada kaitan dengan nilai yang hanya RM5 bilion bagi jumlah pelaburan diluluskan untuk keseluruhan tempoh tahun 2020 negeri Kedah yang dipimpin oleh ahli politik itu sebagai ketua kerajaan. 

Ironinya, beliau mempersoalkan fakta dan angka yang dilaporkan secara rasmi oleh MIDA, sebuah agensi bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di mana beliau sendiri pernah jadi Timbalan Menteri.

Seharusnya, dalam membicarakan hal pelaburan asing, tidak kiralah sebagai kerajaan atau pembangkang, apabila negeri atau negara terima pelaburan, bersyukurlah. Pelaburan akan membawa kepada kemakmuran ekonomi yang akan menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat.

Mengapa harus ada perasaan iri atau tidak puas hati dengan pencapaian kerajaan hingga perlu menyelongkar fakta daripada sumber yang tidak berautoriti untuk menghodohkan usaha baik pemerintah yang bekerja keras untuk rakyat? 

Pelaburan asing diuruskan oleh MIDA yang sudah berpengalaman lama, memahami sensitiviti pasaran dan statistik dikemukakan sudah tentu akurat dan memiliki kredibiliti berbanding portal yang dirujuk oleh ahli politik berkenaan.

Beginikah sikap selayaknya seorang yang pernah berpengalaman dalam pentadbiran? Saya sesungguhnya lebih menyanjung tinggi Patriotisme pekerja ladang dari Indonesia itu berbanding pemimpin yang seperti ini. Sungguh!

MUHAMAD MAT YAKIM – HARAKAHDAILY 26/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/596018318/posts/10159665114523319/

- Advertisement -