KPT rancang tambah 19 lagi PPV IPT

Foto daripada Facebook Dato' Dr. Noraini Ahmad.

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merancang untuk menambah 19 lagi Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) dalam usaha membantu negara mencapai imuniti kelompok dengan lebih pantas.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ketika ini 26 PPV IPT telah beroperasi di seluruh negara dan penambahan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 45 PPV IPT.

Advertisement

“KPT akan terus komited untuk membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

“Ketika ini, PPV IPT yang telah beroperasi mempunyai kapasiti 25,400 dos vaksin sehari dan sehingga 21 Jun lepas, seramai 200,016 orang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Noraini turut menerima kunjungan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ke program rintis PPV Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dekat Batu Pahat, hari ini.

Noraini berkata PPV yang digerakkan sejak dua minggu lepas itu berperanan dalam memberikan akses vaksinasi dengan lebih meluas kepada masyarakat luar bandar.

“Selain HCTM, semalam PPV IPT Unimas telah berjaya mencatatkan rekod iaitu 5,584 penerima vaksin sehari. Secara keseluruhan sejumlah 37,758 penerima telah menerima vaksin di PPV berkenaan sejak ia beroperasi pada 10 hari lepas,” katanya.

Beliau berkata pada Isnin depan sebuah lagi PPV IPT akan dibuka di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang boleh menerima kapasiti seramai 3,000 penerima vaksin sehari, selain mampu memberi manfaat kepada penduduk terutamanya di Negeri Sembilan. – BERNAMA