Projek Tambakan Seri Tanjong Pinang terbengkalai?

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Data yang dikeluarkan kerajaan negeri berkaitan pendaratan ikan di kawasan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) begitu meragukan berbanding fakta Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI).

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail berkata, fakta yang dikeluarkan kerajaan negeri hanya menyatakan empat peratus sahaja.

Katanya data itu sangat meragukan apabila hanya empat peratus hasil pendaratan ikan di kawasan PSR pada tahun 2015.

- Advertisement -

“Tindakan segelintir pihak yang cuba memanipulasi kisah sebenar secara tidak telus dan ikhlas bagi menjelaskan fakta kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilapor berkata, kawasan PSR hanya menyumbang 4 peratus daripada jumlah pendaratan ikan pada 2015.

Menurutnya berdasarkan senario itu mustahil projek PSR boleh menjejaskan keselamatan makanan seperti yang sering didakwa masyarakat awam dan NGO alam sekitar.

Zikrullah berkata, berdasar kenyataan kerajaan Pulau Pinang purata pendaratan ikan di Pulau Pinang sebanyak 50,000 metrik tan, bermakna hasil ikan di kawasan PSR hanya 2000 metrik tan sahaja.

“Jika dilihat aliran hasil pendaratan ikan Pulau Pinang daripada 2010 hingga 2015, secara purata kasar hasil pendaratan adalah 50,000 tan metrik setahun,” ujarnya.

Ini bermakna kata beliau perbezaan angka disebut ketua menteri pengurangan lebih 11 000 metrik tan berbanding data yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Dato’ Che Abdullah Mat Nawi iaitu 13418.11 mt (24.5 peratus).

Menurutnya fakta tersebut sangat mengelirukan kerana angka yang dikeluarkan sangat jauh berbeza.

Beliau juga berkata, fakta yang dikeluarkan kerajaan negeri itu sebagai alasan bagi meneruskan PSR walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.

Kata beliau juga terdapat pelbagai alternatif yang boleh dilakukan kerajaan negeri untuk membangunkan Pulau Pinang bukan hanya melalui tambakan laut semata-mata.

“Jika dilihat di negeri lain, contohnya Kedah yang mendapat perhatian pelabur ketika ini tanpa perlu menambak mana-mana laut.

“Perkara ini boleh dijadikan contoh kepada kerajaan Pulau Pinang untuk mendapat perhatian pelabur,” ujarnya.

Menurut Zikrullah juga jika benar projek PSR bakal mewujudkan peluang pekerjaan mengapa Projek Tambakan Seri Tanjong Pinang 2 (STP2) dilihat terbengkalai.

“Berapa banyak peluang pekerjaan yang sesuai untuk nelayan dan rakyat tempatan berbanding pekerja asing.

“Jika tambakan STP2 pun tidak mendatangkan contoh yang baik, bagaimana mereka hendak janjikan PSR lebih baik sedangkan STP2 pun gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -