Pemuda PAS sedia gerak usaha bendung aktiviti LGBT

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia menggerakkan usaha di semua peringkat bagi membendung aktiviti jijik lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sehubungan itu, Naib Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, DPPM merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih atas kenyataan media Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkenaan Task Force Menangani Isu LGBT yang sekian lama membarah dan membawa kerosakan sosial berpanjangan kepada rakyat Malaysia.

Katanya, kebelakangan ini, barisan NGO dan perseorangan yang pro dan simpatisan LGBT seolah-olah bertindak bebas mempromosikan budaya tersebut, terutama di ruang media yang begitu luas dengan tujuan mempengaruhi masyarakat menyokong mereka.

- Advertisement -

“Budaya ini malah dipromosikan untuk menjadi ikutan masyarakat khususnya anak muda, yang pastinya akan mudah terpengaruh dan terjebak jika tidak dikawal,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, usaha untuk meminda akta-akta yang berkaitan bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan pemantauan serta penangkapan terhadap sebarang usaha untuk mempromosikan aktiviti jijik itu perlu disegerakan, sebelum lebih ramai anak muda yang terjebak dalam aktiviti songsang ini dapat diselamatkan.

Semalam, Ahmad Marzuk berkata tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

Beliau menyatakan perkara itu setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Tambahnya, tujuan mesyuarat khas semalam ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” ujarnya.

Afnan Hamimi berkata, Pemuda PAS memahami cabaran besar yang dihadapi oleh kerajaan khususnya JAKIM dan pihak berkuasa agama.

Ini, ujarnya kerana LGBT bukanlah suatu gerakan ‘kampung’, tetapi sebuah gerakan dunia yang dilindungi oleh mereka yang bencikan Islam.

“Jaminan kami Pemuda PAS, untuk memastikan Task Force ini akan terus disokong dan didukung demi menjamin kestabilan hubungan sosial yang baik untuk umat Islam dan rakyat Malaysia.

Tegasnya, Pemuda PAS bersedia menggerakkan usaha di semua peringkat bagi membendung aktiviti jijik itu dan menjadi mata-mata untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika kegiatan itu terus dipromosikan secara terbuka terutama sekali di media sosial.

“Semoga budaya jijik dan songsang ini dapat dibanteras sepenuhnya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -