Pelaburan RM42.2 bilion Risen Solar dilulus ke Kedah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah membawakan pelaburan sebanyak RM42.2 bilion di mana dalam tempoh 5 tahun akan mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Kelulusan lesen pengilang dan galakan insentif melibatkan syarikat China, Risen Energy Co Ltd yang mengeluarkan produk teknologi solar itu telah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

- Advertisement -

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, menerusi Risen Solar Technology Sdn Bhd, syarikat itu akan membelanjakan modal dan operasi bagi tempoh 15 tahun.

Terdahulu, kedua pemimpin ini bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman mengadakan mesyuarat atas talian bersama Pengerusi dan Presiden Risen Energy, Xie Jian.

Syarikat kelima terbesar dunia ini mengeluarkan reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel solar dan modul solar di mana industri ini menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi produk solar.

Ketika ini terdapat juga beberapa syarikat pengeluar global solar beroperasi di negara ini seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power.

Menurut Muhyiddin, pelaburan dari Risen Energy ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19 merupakan kejayaan buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia.

“Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia.

“Ini selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara yang pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” ujar Muhyiddin.

Maklum beliau, Risen Energy juga akan menjalin kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk pengambilan pelajar secara ‘internship’.

Mohamed Azmin memberitahu kilang pengeluaran terbaharu Risen Energy ke KHTP itu adalah pelaburan pertamanya di Asia Tenggara untuk mengeluarkan modul fotovoltaik kecekapan tinggi 3GW bagi permintaan global.

Syarikat itu maklum beliau, akan memulakan operasi aktiviti komersialnya pada suku pertama 2022, sekali gus menyumbang kapasiti pengeluaran disasarkan, apabila pembinaan kilangnya dijangka selesai pada hujung tahun ini.

“Projek Risen Energy di Malaysia juga akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana serta menyediakan peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global.

“Bagi memanfaatkan peluang pekerjaan yang bakal wujud nanti, MIDA telah bekerjasama dengan Risen Energy bagi program pembangunan tenaga kerja khusus untuk melahirkan kumpulan tenaga kerja tempatan yang mampan bagi memenuhi permintaan pemain solar global,” ujarnya.

Beliau menyifatkan pelaburan-pelaburan besar mutakhir ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap pentadbiran sekarang dan kestabilan politik negara yang penting menyediakan iklim kondusif bagi pertumbuhan dan pengembangan pelaburan serta perniagaan. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -