Inilah dakwah kita

- Advertisement -

SHEIKH Abul A’la Maududi telah memberi beberapa peringatan untuk para da’i mengenai inilah dakwah kita.

Apabila kita ingin menyimpulkan dakwah kita dari segi tujuan dan matlamatnya, dapat disimpulkan kepada tiga asas:

- Advertisement -

1. Dakwah kita adalah untuk seluruh manusia umumnya dan umat Islam secara khusus, menyeru mereka supaya memberikan sepenuh pengabdian kepada Allah S.W.T, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan tidak menjadikan sesembahan lain sebagai Tuhan dan Rab.

2. Dakwah kita adalah untuk manusia yang mempunyai persediaan untuk menerima Islam sebagai Din dan pegangan hidup, mengikhlaskan keyakinan sebulatnya kepada Allah S.W.T membersihkan jiwanya dari segala penyakit nifaqdalam setiap amalan, supaya tidak bertentangan dengan Islam.

3. Dakwah kita adalah untuk alam sejagat, menyeru mereka membangkitkan suatu revolusi dan perubahan terhadap sistem pemerintahan kini kerana pemerintahan hari ini dikuasai oleh Taghut dan perosak-perosak yang hidup bermaharajalela di permukaan bumi dengan berbagai kemusnahan. Kekuasaan dan kepimpinan idealogi yang zalim ini mesti dihentikan, diserahkan kepada orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat, beriman dengan agama yang hak, tiada keinginan kepada kemegahan, kemaharajalelaan dan kemusnahan di muka bumi.

Tiga tujuan ini adalah jelas, sejelas matahari siang, tetapi sangatlah menyedihkan apabila kebenaran matlamat-matlamat tersebut terselindung di sebalik tabir kejahilan, lupa dan beku sehingga kaum Muslimin sendiri terlebih dahulu memerlukan penerangan, penjelasan dan perincian terhadap tujuan dan tuntutan daripada matlamat-matlamat itu. Usah lagi difikirkan akan orang-orang yang bukan-Islam yang sememangnya tidak mengenal dakwah dan pengajarannya.

Suatu hal lain, dakwah kita mengajak supaya menyerahkan pengabdian kepada Allah S.W.T bukanlah bertujuan supaya seseorang itu hanya mengakui akan kehambaannya kepada Allah S.W.T tetapi kemudiannya ia bebas melakukan sesuatu seperti orang yang sekadar mengimani Allah S.W.T sebagai pencipta alam semesta, Pemberi rezeki kepada kehidupan di muka bumi dan sewajibnya, Dia disembah oleh seluruh makhluk tetapi tidak mengimani mengenai hak kehakiman dan kekuasaan Allah S.W.T di dalam semua urusan-urusan kehidupan di dunia.

Hakikat pengabdian yang sebenarnya, menolak pembahagian kehidupan kepada dua bahagian secara terpisah. Pertama: Semua perkara yang berhubung dengan soal-soal agama (Perkara-perkara keagamaan). Kedua: Perkara-perkara yang berhubung dengan persoalan-persoalan keduniaan dengan kepelbagaian permasalahannya sehingga menyempitkan erti pengabdian kepada Allah S.W.T setakat berkisar dalam ruang-ruang yang disifatkan sebagai keagamaan, terbatas kepada bidang-bidang kepercayaan, ibadah dan hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan individu serta perkara syaksiyyah menurut maksud yang lazim difahami.

Manakala persoalan keduniaan dengan segala cabang-cabang kehidupannya termasuk pembangunan politik, ekonomi, peradaban dan akhlak tidak langsung dihubungkan dengan kekuasaan Allah S.W.T. Hukum Allah S.W.T tidak diberi hak kuasa sepenuhnya. Hamba-Nya bebas untuk menentukan persoalan-persoalan mengikut kehendaknya, bebas menggariskan sebarang peraturan pembangunan menurut apa sahaja yang diingininya dan boleh memilih sebarang perundangan ciptaan manusia dengan sebebas-bebasnya.

Para juru dakwah di seluruh alam tetap yakin bahawa Ad-Din itu adalah satu, tetap dan tidak berubah. Demikian juga kesucian al-Quran tetap terpelihara, tidak berlaku batil di waktu lalu sehingga sekarang mahupun pada masa akan datang. Mereka yakin bahawa pengertian ‘Ubudiyyah (Pengabdian) adalah salah. Pengertian dan kefahaman seumpama itu sewajibnya dihapuskan dan dibanteras bersama-sama dengan penghapusan dan usaha-usaha memusnahkan sistem kafir dan jahiliah hingga ke akar umbinya. Kefahaman ‘Ubudiyyah seumpama itulah yang mengelirukan dan merosakkan kebenaran agama. Ia menukar keseluruhan wajah Ad-Din.

Kami yakin dan menyeru manusia kepada erti pengabdian yang dilaungkan oleh para Rasul dari Adam A.S hinggalah kepada Muhammad S.A.W. Penghulu para Mursalin dan Nabi penutup: 

“Mengakui dan meyakini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Tuhan yang esa.”

Dialah Tuhan yang memerintah dan lagi Maha Berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya, Dia wajib ditaati, Tuhan Pencipta Perlembagaan, Perundangan dan Penguasa urusan mereka, Penentu bagi segala urusan mereka, Pemberi ke atas segala kerja-kerja mereka, supaya seseorang hamba itu menyerah bulat-bulat kepada Allah S.W.T yang Maha Perkasa lagi Berkuasa. Seseorang hamba itu mestilah yakin dan mengikhlaskan dirinya kepada Allah yang Maha Tinggi, mengabdikan dirinya kepada Allah S.W.T di dalam semua urusan kehidupan perseorangannya mahupun secara berjamaah, budi pekerti dan politiknya, ekonominya dan sosialnya. Pengertian ‘Ubudiyyah ini tersirat di dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

(al-Baqarah: 208)

Allah S.W.T memerintahkan hamba-Nya untuk masuk ke dalam Islam, agama Allah secara menyeluruh, merangkumi seluruh aspek kehidupan. Lantaran tidak ada sesuatu pun yang terkecuali dari kekuasaannya hatta melanggar sempadan-sempadan kekuasaan-Nya di dalam mana-mana bidang kehidupan.

Kamu tidak kuasa membebaskan diri daripada pengabdian kepada-Nya secara menyeluruh dengan memiliki perasaan bebas merdeka di dalam pekerjaan, berhak memilih sebarang bentuk dan sistem yang kamu mahu menuruti apa jua sistem ciptaan kegemaran kamu. Inilah pengertian pengabdian yang sejati yang kami sebarkan dan kami semarakkan. Selanjutnya kami menyeru kepada seluruh manusia Muslim dan bukan-Muslim ke arahnya, mengimani-Nya dan terus patuh kepada-Nya.

Asas kedua menyeru mereka yang melahirkan keimanan terhadap Islam berusaha membersihkan jiwa dan amalan mereka dari saki baki nifaq dan unsur-unsur yang bertentangan. Nifaq ialah seseorang yang berpura-pura mengimani sesuatu sistem tertentu, menunjukkan penggabungan, penyerahan dan kepatuhan kepada-Nya tetapi di waktu yang lain dapat hidup dengan penuh rasa aman dan rela hati di bawah naungan satu sistem lain yang jelas bercanggah dengan keimanan dan pegangan yang awal tadi. Tidak pernah dia berniat untuk merubah gantikan sistem yang bercanggah itu dengan akidah keyakinannya. Lebih dahsyat lagi apabila ia sendiri bekerja keras menjadi tonggak utama dalam usaha menegakkan perancangan dan tapak sistem yang rosak lagi zalim itu. Atau dia berusaha mendirikan satu sistem batil menggantikan kerosakan sistem itu lalu menumpang dengan penuh keselesaan dan kegembiraan di bawah lembayungnya.

Manusia begini adalah seperti orang-orang munafik. Mereka percaya kepada satu cara hidup tertentu tetapi hati mereka lebih rela menerima yang lain yang lebih nyata berlawanan pula dengan kepercayaannya tadi. Amalan ini tidak dapat diterima oleh kewarasan akal dan ketentuan syara’. Sebenarnya tuntutan asas daripada keimanan seseorang itu ialah supaya kalimah Allah S.W.T diletakkan mengatasi segala-galanya. Ia bertujuan menjadikan Ad-Din semuanya kepada Allah S.W.T, semoga tidak timbul anasir pencabar untuk bangkit menentang pendukung panji Islam dalam dakwah, sebagai melaksanakan kewajiban untuk manusia sejagat. Inilah pantulan daripada keimanan, di mana perasaannya tidak akan tenang melihat sesuatu yang akan merosakkan dasar Ad-Din-nya (Agama) atau yang boleh mencacatkan pengaruh, menyekat dan mengurangkan bidang kekuasaannya. Selain itu, di antara tanda dan ciri-ciri keimanan dalam seseorang itu ialah kegelisahan, rasa tidak senang dan tidak sempurna hidupnya selagimana belum tertegak keadilan di dalam sistem hidup, mengembalikan segala keagungannya dan kekuasaannya bendera kebenaran berkibar semula lalu wujud pemerintahan yang adil di setiap lapisan kemanusiaan.

Inilah tanda dan ciri-ciri dari kejelasan iman. Ianya tidak wujud dalam jiwa orang-orang yang angkuh dan ingkar. Manusia yang hidup bernaung dengan penuh kerelaan dan kepuasan di bawah sistem semasa yang batil, di dalamnya kekuasaan Ad-Din dinafikan, kalaupun diizinkan, ianya telah dibataskan kepada persoalan-persoalan nikah cerai dan pembahagian harta, ruang yang diberikan kepada Ad-Din ini tidak berkemampuan menggugat pelaksanaan kekuasaan sistem batil itu, dan mereka senang dengan perjalanan itu sehingga tidak tergerak hatinya untuk melakukan perubahan, maka sifat begini adalah ciri dan amalan munafik sejati. Kemungkinan sebahagian ulamak fekah boleh menjadi pembantu manusia begini dengan mengekalkan statusnya sebagai seorang Islam pada panggilan nama dan simpanan pendaftaran atau dalam fatwa yang diberikan kerana takutkan kehilangan kesenangan dunia atau mata pencariannya, Namun jiwa syariat, menolak dengan menjelaskan bahawa mereka ini adalah munafik sejati.

Apa yang kita harapkan dari umat Islam ialah supaya mereka membulatkan dan mengikhlaskan pegangan mereka kepada Allah S.W.T, sentiasa berusaha membersihkan diri dari kesan-kesan nifak. Di antara tuntutan iman ialah menjadikan seluruh cara hidup, sistem kekuasaan ekonomi dan sosial tunduk kepada apa yang dilaksanakan oleh para Rasul dan Anbiya’. Mengakui pemerintahannya, selanjutnya tidak seorang pun mencabar dan mengganggu pemerintahannya. Sungguh menghairankan, seorang yang telah menyatakan keredaannya kepada Islam, namun ia boleh reda dengan sesuatu yang tidak disenangi oleh Islam? Apatah lagi dia yang berani selantangnya berusaha memperkemaskan penguatkuasaan sistem batil dan palsu dengan cara bersungguh-sungguh bekerja meninggikan kalimah batil. Mereka ini dengan nyata adalah sesat dan mencampakkan diri ke dalam kesesatan, semoga Allah S.W.T melindungi kita dari yang demikian.

Kami kemukakan bentuk percanggahan itu ialah dengan harapan, umat Islam seluruhnya tanpa membezakan sama ada mereka yang sememangnya dilahirkan dari keluarga Islam ataupun yang baru memeluk Islam atas kesedaran mereka, membersihkan diri dari kecelaan-kecelaan itu dan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan lafaz mereka. Bukanlah seorang Muslim yang benar jika seseorang itu menuruti dan mentaati beberapa suruhan Allah S.W.T, berpegang dengan syariat-Nya, sedangkan pada ketika yang lain, melakukan maksiat dengan melampaui larangan-larangan-Nya dan menentang suruhan Allah S.W.T. Tuntutan iman ialah supaya seseorang itu menyerah diri dan jiwanya kepada Allah S.W.T, memasukkan segenap penghidupannya di bawah lembayung agama yang benar, tidak menderhaka dalam sebarang suruhan atau mengecualikan suatu aspek pun dari pengabdian yang menyeluruh dan perhambaan yang total kepada Din Ilahi dan syariat-Nya. 

Di antara petanda seorang Mukmin ialah hidupnya diwarnakan dan dicorakkan dengan perintah Allah S.W.T. Dia sedikit pun tidak terpengaruh dengan godaan-godaan dunia. Teori dan praktis hidupnya tidak sedikit pun yang menyeleweng dari ajaran yang sebenar, Dia akan cepat beristighfar dan bertaubat kepada Allah S.W.T apabila melakukan kesalahan penderhakaan dan suatu tindakan yang membawa kepada kejahatan dan kezaliman. Kerana penundaan bertaubat akan membawa kepada dosa yang lebih besar.

Adapun seseorang yang pura-pura beriman, dia akan melakukan sembahyang, berpuasa dan menghidupkan syariat syiar Islam yang lain tetapi dia kemudiannya beranggapan bahawa dirinya telah bebas dari sebarang ikatan-ikatan Allah S.W.T lalu mengingkari suruhan Allah S.W.T di dalam aspek kehidupan yang lain. Ini adalah suatu pertentangan dengan maksud ‘Ubudiyyah.

Maka inilah percanggahan dahsyat yang menafikan pengabdian dan sifat kehambaannya kepada Allah S.W.T. Apakah pandangan anda mengenai kesasauan dan kerosakan yang dilakukan oleh umat Islam sendiri pada masa kini? Mereka mengaku beriman kepada Allah S.W.T dan hari akhirat, melahirkan sokongan kepada Islam dan berwatak dengan watak Islam tetapi seluruh tindak-tanduk mereka, baik dalam perjuangan hidup, pergolakan politik mahupun pengkajian dalam soal-soal ekonomi dan kemasyarakatan tidak sedikitpun mencerminkan wajah ajaran Islam. Tidak jelas sifat-sifat yang membuktikan mereka sebagai pengikut sebenar kepada agama yang hak dan syariat Allah S.W.T yang lengkap. Apakah lagi kebencanaan yang lebih dahsyat daripada ini.

Kesimpulannya

Rujuk pada ayat-ayat Quran di bawah:

“Dan jiwa serta penyempurnaan ciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kefasikan, dan yang membawanya kepada bertakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

(as-Syam: 7-10)

“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.””
(al-An’am: 162)

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam….”

(Ali-Imran: 19)

Wallahua’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -