Sejuta suntikan percuma empat hari, adakah gagal?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa menangkis tohmahan yang dilihat sengaja dicipta segelintir pihak bagi memburuk-burukkan imej kerajaan berhubung kegagalan mentadbir negara serta mengurus pandemik Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan turut menolak polemik berkenaan yang didakwa tidak berasas dan tidak munasabah berikutan kejayaan kerajaan dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

“Bagaimana mungkin boleh kata kita gagal menguruskan kerajaan ataupun menguruskan Covid-19 dalam keadaan sekarang ini, setiap empat hari, sejuta rakyat di negara ini diberikan suntikan percuma. Berapa banyak negara yang boleh berbuat demikian?

“Kalau satu juta suntikan itu didarabkan dengan RM100 bagi setiap suntikan, berapa banyak kerajaan sudah berbelanja? Adakah itu tanda kita gagal?” katanya.

Menurutnya, hashtag kerajaan gagal tidak sesuai dalam soal mengawal Covid-19 dan mengurus kerajaan kerana kayu ukur atau penanda aras yang digunakan tidak menepati piawaian secara global.

“Kita mempunyai masalah (pandemik covid-19), tetapi sekarang orang sudah tak takut dengan Covid-19, bila orang tak takut… bagi sesetengah orang ini bukan wabak.

“Larang pun dia buat, jangan rentas sempadan pun dia nak buat, dia tak takut sampai kita terpaksa menggunakan kuasa kepolisian, sebab (selalunya) apabila wabak masing-masing akan mempertahankan diri sendiri.

“Pada saya, itu adalah indikator bahawasanya kita berjaya mengawal wabak sehingga ianya tidak dianggap wabak (berbahaya) oleh sesetengah orang, itu tanda kejayaan yang pertama,” ujarnya.

Katanya, pencapaian Malaysia dalam mengurus Covid-19 perlu dibanding serta diukur dengan negara lain yang mempunyai kadar jangkitan harian positif wabak berkenaan yang lebih tinggi.

“Kita ambil contoh negara seperti Amerika Syarikat (AS), negara yang kuat, kaya, moden dan segala-galanya ada pada mereka.

“Di AS, jumlah orang yang terjangkit dengan Covid-19 dalam keadaan dia menguruskan wabak itu berjumlah 34,335,239 orang.

“35 juta rakyatnya, meskipun populasi mereka lebih besar tapi (itu) hakikatnya angka mutlak AS telah dijangkiti dalam negara serba moden, canggih serba serbi.

“Kes baharu dalam keadaan sekarang, mereka sudah berjaya dan jumpa vaksin, (walaupun) WHO pun yang dikatakan paling dekat dengan mereka dan sebagainya, hari ini kes baharu di AS masih lagi berjumlah 10,000.

“Masih lagi angka lima digit di AS. Manakala jumlah kematian 615,232 orang dan jumlah kematian harian terkini 205 orang,” katanya.

Jelasnya, jumlah berkenaan jauh berbeza jika hendak dibandingkan di Malaysia yang mana jumlah kes keseluruhan 662,000 dan kes baharu 4,900 dengan kematian berjumlah 4,000 orang.

Beliau turut membandingkan jumlah jangkitan di negara United Kingdom (UK) iaitu 4.35 juta meskipun kajian vaksin AstraZeneca (AZ) dijalankan di negara yang dilihat sebagai contoh serta model dalam perubatan.

Bahkan, negara seperti Itali turut menyaksikan ratusan ribu kematian dengan jutaan jumlah kes jangkitan, ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Harakah TV berjudul Mengurus Covid-19: Betul ke #kerajaangagal?’ yang turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pandemik itu masih merupakan ancaman besar kepada negara, namun secara relatifnya pencapaian kerajaan sudah cukup berjaya serta memberangsangkan.

“Pada saya, kita berjaya walaupun kita masih belum boleh sebut sebagai kejayaan mutlak sebab menguruskan pandemik seperti ini ia memerlukan survival yang panjang dan kita perlu terus berusaha.

“Jadi secara ringkasnya pada saya, jangan kita menjadi umat yang tidak bersyukur dan kita kena terima. Kita kena syukur pada Allah dan berdoa, seluruh rakyat berdoa, Allah akan makbulkan kita.

“Pandemik tidak akan terjadi dalam bentuk pandemik, sistem kesihatan kita tidak runtuh, kerajaan kita masih mampu untuk terus berikan suntikan-suntikan percuma.

“Malah sekarang kerajaan mensasarkan dalam masa dua atau tiga bulan lagi kita akan dapat memberikan suntikan kepada lebih 80 peratus penduduk, bukan sahaja rakyat, orang asing, pendatang pun semua dapat diberikan kemudahan perubatan dan sebagainya.

“Dan fasa terakhir kita ialah Pelan Pemulihan Negara yang sedang kita laksanakan sekarang dan insya-Allah kita akan terus berjaya dan berjaya bersama,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -