Perubatan: Penuhi syarat minimum lanjut pelajaran ke Mesir

KUALA LUMPUR: Warganegara Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran perubatan di tujuh universiti di Mesir, wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) ke-407 pada 22 Jun lepas menetapkan syarat kelayakan minimum sekurang-kurangnya lepasan matrikulasi/asasi/prauniversiti atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.

Advertisement

Dr Noor Hisham yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memaklumkan bahawa MPM menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian dari enam tahun kepada lima tahun pengajian bagi kesemua tujuh universiti Mesir yang diiktiraf oleh MPM, seperti yang tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Beberapa siri perbincangan diadakan oleh MPM bersama pelbagai pihak termasuk pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut bersetuju sekiranya syarat kemasukan minimum tidak dipenuhi, bakal graduan daripada universiti itu mungkin berhadapan masalah untuk berdaftar bersama MPM.

Katanya MPM juga akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan universiti-universiti berkenaan daripada senarai universiti yang diiktiraf dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) sekiranya perkara itu berlanjutan.

Sehubungan itu, MPM meminta kerjasama semua pihak terutamanya badan pemberi biasiswa atau bantuan pendidikan untuk memastikan syarat itu dipatuhi supaya sebarang kesulitan dapat dielakkan bagi pelajar untuk berdaftar dengan MPM selepas tamat pengajian. – BERNAMA