Pemasangan pagar elektrik atasi serangan gajah liar

Foto daripada Facebook Dr Azman Ibrahim.

KUALA TERENGGANU: Masalah serangan gajah liar yang sering dialami lebih 200 pekebun di Hulu Kemaman, dijangka akan dapat diatasi melalui pemasangan pagar elektrik dengan kos RM1.7 juta pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata, pagar elektrik tersebut akan dipasang di Kampung Ban Ho, Cherul serta Kampung Air Putih dan keluasan kawasan yang terlibat sedang dikenal pasti.

Advertisement

“Semalam, saya sempat meninjau kebun milik peserta rancangan tanah berkelompok (RTB) di Kampung Ban Ho yang diserang gajah, dan akan memberi bantuan sagu hati sewajarnya kepada mereka melalui Tabung Bencana Pertanian, sebagai bantuan jangka masa pendek.

“Bayaran sagu hati itu nanti diharap dapat meringankan sedikit kerugian mereka selain memberi motivasi untuk mereka terus bergiat dalam sektor pertanian, dan penyelesaian jangka masa panjang pula ialah dengan pemasangan pagar elektrik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Masalah serangan gajah itu bermula sejak akhir Mei lepas dan terbaharu pada dua minggu lepas, menyebabkan lapan peserta projek RTB itu menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit, apabila tanaman pisang dan nanas yang hanya menunggu masa untuk dituai rosak sekelip mata.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi berkata, sehingga Mei lepas kerajaan Terengganu telah menyalurkan sebanyak RM280,977 kepada 368 pekebun, penternak dan nelayan, melalui Tabung Bencana Pertanian.

“Walaupun tidak dapat menampung semua kerugian yang dialami, sekurang-kurangnya bantuan sagu hati ini dapat melegakan mereka yang terjejas akibat pelbagai musibah, termasuk serangan haiwan liar, banjir dan kemarau,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mengikut data Perhilitan Terengganu, bilangan gajah ketika ini hanya kira-kira 180 ekor sahaja.

“Kebun di kawasan pinggir hutan agak berisiko diserang gajah, kerana haiwan liar itu adalah penggemar umbut sama ada umbut kelapa atau kelapa sawit.

“Pelbagai langkah telah kita ambil untuk kepentingan sektor pertanian dan perladangan negeri, termasuk pemasangan pagar elektrik dan lampu LED, tembakan untuk menghalau kawanan gajah dan akhirnya tindakan menangkap gajah untuk dipindahkan ke Taman Negara,” katanya. – BERNAMA