PAS cawangan bantu penghulu kesan penduduk terjejas

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
PAS cawangan diberi tanggungjawab membantu penghulu bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) mendapat bantuan kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok, Abdul Aziz Kadir berkata, jentera PAS peringkat cawangan perlu memainkan peranan bagi memastikan bantuan yang disalurkan kerajaan sampai kepada penerima.

Katanya mereka juga perlu memastikan setiap penerima bantuan tersebut benar-benar layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk membantu rakyat yang terjejas dengan memberi sumbangan bahan makanan sepanjang tempoh tersebut.

“Daripada jumlah peruntukan itu kita agih kepada 1,200 penerima dalam kalangan penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan PKP3.0.

“Pemilihan penduduk yang layak turut melibatkan penghulu mukim di mana penghulu bertindak penyelaras agihan bantuan,” katanya yang juga Adun Jelawat ketika ditemui hari ini.

Menurutnya juga setiap keluarga yang terjejas mendapat bantuan barangan keperluan harian bernilai RM50 setiap satu.

Sementara itu Penghulu Mukim Surau Batul, Abdul Ghani Awang berkata, bantuan itu diagihkan kepada penduduk yang terjejas khususnya buruh yang dilarang bekerja sepanjang tempoh PKP3.0.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai senarai penerima yang diperolehi PAS Cawangan sebelum diserah kepada Pusat Khidmat Dun sebelum bantuan disalurkan.

“Pelaksanaan PKP sekarang ada sesetengah pekerjaan dilarang beroperasi, jadi kita terpaksa bagi bantuan makanan. Kita pilih mana-mana yang benar-benar terjejas seperti buruh binaan.

“Walaupun ada penduduk yang berpuas hati, namun kita tetap melaksanakan tugas dengan mengagihkan sumbangan kepada penduduk yang dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya juga tidak semua 400 rumah penduduk di Mukim Surau Batul diberi bantuan tersebut, di mana hanya mereka yang terjejas sahaja dibantu.

Ketua PAS Cawangan Bukit Bator Razali Samad berkata, pihaknya mengetahui keluarga yang layak menerima bantuan kerajaan yang disumbang melalui pejabat wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -