‘Orang itu tidak diperlukan waktu ini’ – Sanusi

#KerajaanGagal adalah propaganda, sabotaj, sentimen dan persepsi salah serta bukan indikator ukur usaha tangani pandemik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hashtag ‘Kerajaan Gagal’ adalah propaganda politik pihak tertentu dan bukan indikator untuk mengukur keupayaan menangani pandemik dalam sektor kesihatan, demikian tegas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Kata beliau panduan dalam menguruskan pandemik COVID-19 ialah data dan fakta yang sahih, benar dan legal serta tidak dikutip maklumat atau keterangan tidak diketahui kebenaran sumbernya.

“Data-data sahih benar dan legal ini diambil daripada agensi-agensi kerajaan. Saya saksikan sendiri hampir dua hari sekali, akan diadakan sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membincangkan pandemik COVID-19.

“Akan ada perbentangan daripada DG (Ketua Pengarah) Kesihatan, akan ada perbentangan Pengarah MKN, perbentangan daripada agensi-agensi berkaitan. Semua agensi-agensi ini dia bukan ada parti (politik). Kerja demi negara ini.

“Dan apa keputusan yang kita ambil untuk menguruskan pandemik ini, semua adalah pembentangan-pembentangan dan data-data rasmi, legal, sahih daripada agensi ini. Semua ini adalah aparatus negara yang kita ambil kira, yang patut dijadikan kayu ukur ataupun penanda aras untuk tangani pandemik COVID-19.

“Yang orang sebut ‘gagal’ itu, dia ‘kutip’ data daripada mana? Tidak mungkin orang yang tidak berada di dalam struktur kerajaan ini dapat memahami isu pandemik ini secara global,” bidasnya.

- Advertisement -

Beliau bersiaran langsung secara atas talian dalam  Bicara Harakah membicarakan tajuk ‘Mengurus COVID-19: Betul Ke #KerajaanGagal?’ bersama Menteri Wilayah, Tan Sri Tpr Annuar Musa, malam tadi.

Menurutnya, pihak yang menggunakan hashtag itu mungkin dapat satu sisi pandang sahaja, sedangkan Perdana Menteri, para Menteri dan pihak-pihak terbabit dalam mengurus pandemik ini memberi 100 peratus komitmen dan kesungguhan.

Jelas beliau lagi, ia melibatkan semua jentera kerajaan dan awam, serta pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam melibatkan gabungan kepakaran dan sumber menghasilkan gerak kerja untuk keluar dari pandemik ini.

“Tidak ada siapa pun di dalam kalangan kerajaan ini bekerja untuk gagal. Tidak ada siapa pun yang cuba mengheret negara kita ke dalam kemusnahan. Semua orang sedang bekerja untuk menyelamatkan negara dan rakyat keluar daripada pandemik COVID ini sebagai pemenang!

“Yang gagal sebenarnya ialah orang yang cuba mengheret rakyat untuk mensabotaj usaha-usaha kerajaan, untuk bermain dengan sentimen yang keterlaluan pada ketika ia tidak diperlukan pada waktu ini. Dan termasuklah orang-orang ini pun tidak diperlukan pada waktu ini.

“Jadi kita patut berpolitik yang menguntungkan rakyat. Eloklah cadangkan, beri sokongan untuk kita sama-sama tangani pandemik COVID ini dengan lebih baik. Daripada kita buang masa memperbetulkan persepsi-persepsi salah yang sengaja dilontarkan untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, di peringkat awal terdapat cubaan sabotaj usaha-usaha kerajaan dengan meracuni masyarakat secara melontarkan idea-idea antivak, kononnya vaksin ini tidak halal, tidak selamat, di mana semua ini propaganda politik untuk menjayakan hashtag tadi.

Pun begitu katanya, akhir-akhir ini orang ramai telah faham dan menerima bahawa inilah satu jalan dan cara yang ada pada waktu ini untuk menghadapi pandemik ini hingga orang berebut-rebut datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Ujarnya, walaupun tidak mendapat temujanji, tapi mereka tunggu giliran, mengharap kalau-kalau ada yang tidak datang untuk diambil gilirannya menunjukkan kini ada perebutan untuk mendapatkan vaksin.

“Alhamdulillah masyarakat telah dapat menyelami hasrat dan tujuan yang kerajaan laksanakan melalui pemberian vaksin. Dan kadar pendaftaran juga telah meningkat, purata pendaftaran Kedah telah mencecah 60 peratus alhamdulillah.

“Dan kita buat juga beberapa perancangan khususnya di Langkawi untu kita buat ‘bubble tourism’ di Langkawi, kita mensasarkan pembukaan Langkawi lebih awal untuk sektor pelancongan peringkat nasional untuk kita sediakan satu tempat percutian untuk rakyat Malaysia di Langkawi insya-Allah,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -