Mengapa kita takut untuk di vaksinasi?

- Advertisement -

oleh Dr Rosnani Zakaria dan Azizan Mohamed Isa

Perasaan takut adalah perasaan yang ada pada semua manusia hatta binatang sekalipun. Perasaan ini sebenarnya adalah salah satu mekanisma badan untuk menyelamatkan seseorang daripada bahaya, sebagai contoh kita tidak memegang api kerana kita takut api dengan sifatnya yang panas boleh membakar anggota tubuh kita dan seterusnya memudaratkan kita.

Berdasarkan contoh di atas, sifat takut ini merupakan satu sifat yang berguna untuk melindungi seseorang daripada bahaya.

Contoh yang kedua pula, seseorang yang pernah terselamat daripada lemas, akan cuba menggelak daripada berada dalam situasi yang boleh menyebabkan keadaan yang sama berlaku. Mereka yang mendengar mengenai kejadian itu pun mungkin akan merasa takut mengalami kejadian yang sama secara bawah sedar.

- Advertisement -

Perkara ini terjadi adalah kerana manusia akan merasa takut apabila berdepan dengan suasana yang menyebabkan kesihatan atau keselamatan mereka terancam.

Contoh yang ke dua inilah yang menjadikan kita merasa takut apabila mendengar perihal berita dan cerita yang berlegar di media massa tentang pelbagai kejadian yang berlaku selepas seseorang itu menerima vaksin.

Antara berita yang berlegar adalah, vaksin boleh menyebabkan kematian selepas pengambilan dos pertama. Berita ini tersebar dengan luasnya di grup grup whatsapp dan ianya berjaya menimbulkan ketakutan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira umur, bangsa, latar belakang sosioekonomi atau pun peringkat pendidikan.

Pengambilan vaksin juga dikatakan akan mengubah manusia menjadi zombie, mati selepas dua tahun, DNA berubah, cip nano dimasukkan ke dalam badan juga adalah antara cerita yang sangat tular di media massa.

Justeru, tidak hairanlah, walaupun pihak kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk penduduk di Malaysia yang layak dan mempunyai risiko jangkitan Covid 19 yang serius untuk mengambil vaksin tersebut, masih ramai yang tidak mendaftarkan diri untuk divaksinasi.
Malah terdapat ramai yang mengubah fikiran untuk menolak vaksinasi ini selepas mendaftarkan diri. Jumlah mereka ini mencecah angka puluhan ribu dan ini membawa kepada masalah yang serius kepada pelan pengawalan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Lonjakan kes terus berlaku, sehingga kini Malaysia sudah mencatatkan sebanyak 705,762 kes positif Covid-19 yang dilaporkan setakat 22 Jun 2021. Seramai 4,554 orang pula telah terkorban. Kemudahan rawatan di unit rawatan rapi di kebanyakkan hospital kini kritikal apabila semua katil dilaporkan penuh.

Pembedahan pesakit kanser dan penyakit- penyakit lain terpaksa ditunda. Inilah natijah kegagalan pelan pengawalan jangkitan Covid-19 dan antara penyumbang utamanya adalah kerana perasaan takut yang ditanam di dalam masyarakat.

Dua lagi persepsi yang kurang menguntungkan yang wujud dalam masyarakat adalah, pertama, kepercayaan di mana ‘saya tidak akan dijangkiti Covid 19 ini kerana saya boleh mengawal risiko-risiko yang ada’. Kedua, ‘saya tidak nampak kebaikan vaksin Covid-19’.

Namun begitu semenjak dua bulan kebelakangan ini apabila kes harian melonjak ke angka menghampiri 10 ribu kes sehari, mata masyarakat mula terbuka, mereka mula merasakan risiko mereka dijangkiti Covid-19 ini adalah benar dan ianya boleh menjangkiti sesiapa sahaja walaupun mereka mengasingkan diri di rumah.

Maklumat mengenai kebaikan dan kepentingan vaksin ini mula tersebar di media massa dan semakin banyak program penerangan dan kesedaran secara santai dilaksanakan oleh pihak yang berautoriti.

Terbukti bahawa mereka yang mengambil dos vaksin Covid 19 yang sempurna, sama ada tidak dijangkiti, mendapat gejala ringan ataupun sangat kurang risiko dirawat di unit rawatan rapi.
Sedikit demi sedikit kegusaran dan perasaan takut itu mula terhakis. Perasaan berani dan perasaan ingin menyelamatkan diri mula timbul. Maka makin ramai rakyat mengambil vaksin dan mengamalkan keselamatan dalam pencegahan jangkitan dengan sewajarnya.

Health belief model merupakan teori paling umum digunakan untuk mempromosikan pendidikan kesihatan. Teori ini menyatakan bahawa kesanggupan seseorang untuk berubah adalah berdasarkan kepada persepsi individu tersebut terhadap keadaan kesihatan beliau.

Health Belief Model 1950s, Irwin M. Rosenstock, Godfrey M. Hochbaum, S. Stephen Kegeles, dan Howard Leventhal. U.S. Public Health Service.

Apabila seseorang merasakan yang keselamatan dirinya terancam, dan ancaman itu benar-benar akan berlaku, individu tersebut akan mula menilai semula tanggapan-tanggapan yang terdahulu terhadap faktor-faktor sekeliling dan mencari pelbagai cara bagi menyelamatkan diri.

Namun begitu, sejauh manakah perubahan ini dapat mengawal pandemik di negara ini? Hanya masa yang akan menjawab persoalan ini.

Kita hanya boleh terus memantau keadaan dan berharap bahawa keadaan akan berubah kepada suasana yang lebih positif. Pada masa yang sama, masyarakat harus bijak dalam menilai kesahihan berita yang ditularkan dan lebih berhati-hati mendapatkan informasi.

Rujukan

  1. Mysejahtera
  2. Becker MH. The Health Belief Model and personal health behavior. Health Education Monographs. 1974;2:324–508

Dr Rosnani Zakaria adalah Pensyarah Perubatan, Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia, Azizan Mohamed Isa adalah Pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Keusahawanan, UniKL Business School

- Advertisement -