Bersama menstabil dan memperkukuhkan kerajaan

- Advertisement -

KENYATAAN media Istana Negara sejurus Yang di-Pertuan Agong berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara baru-baru ini mencerminkan betapa pihak Raja-raja Melayu cukup prihatin dan mengambil berat hal ehwal, nasib dan kebajikan rakyat dan negara. Inilah keunikan dan keistimewaan Institusi berdaulat ini dalam mengurus dan memayungi kepentingan rakyat dan negara dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara kita.

Isu berkaitan langkah-langkah yang telah dan perlu diambil kerajaan untuk membendung dan mengatasi pandemik COVID-19 diambil perhatian selain pentingnya dilahirkan kerajaan yang stabil dan kukuh demi menangani cabaran-cabaran ini serta kewajaran Persidangan Parlimen dipanggil telah diambil kira. Semua aspek ini diberi perhatian oleh Raja-raja Melayu dan telah diutarakan dalam kenyataan media yang dimaksudkan.

- Advertisement -

Perbincangan khas ini beberapa hari sebelumnya didahului dengan pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama ketua-ketua parti yang diwakili di Parlimen. Ternyata inisiatif Raja-raja Melayu ini tanpa prejudis dan langsung tidak memihak kepada mana-mana fahaman politik tetapi diambil dengan penuh tanggungjawab bagi membela dan mempertahankan masa depan negara.

Namun seperti biasa orang-orang politiklah yang telah mencemar dan mengambil kesempatan atas inisiatif dan kenyataan media pihak Istana Negara itu dengan memutarbelit dan memberi penafsiran mereka sendiri semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing. Mereka seolah-olah mahu membayangkan yang negara sudah di luar kawalan dan hampir punah-ranah.

Malah ada yang tergamak menangguk di air keruh dengan mendakwa bahawa kononnya Agong dan Raja-raja Melayu murka pada kerajaan yang ada lantas kumpulan merekalah yang kononnya bakal diberi kepercayaan mengambil-alih kerajaan manakala ada satu pihak lain pula menyatakan bahawa MAGERAN perlu diisytiharkan dengan beliau sendiri dilantik sebagai Pengerusinya.

Semua ini menjadi bahan bakar politik sedangkan hakikatnya negara berhadapan dengan ujian besar, yang mengganggu kehidupan normal rakyat dan menjejaskan ekonomi negara. Tanpa adab dan segan-silu mereka sanggup di saat rakyat merintih kesusahan, ‘frontliners’ berkorban habis-habisan dan jentera kerajaan berhempas-pulas, mengutamakan nafsu kepentingan pangkat dan kuasa buat mereka sendiri. 

Isunya adakah benar Raja-raja Melayu murka dan tidak berpuas-hati dengan Kerajaan Persekutuan yang ada? Adakah kenyataan media Istana Negara ini sebenarnya menggambarkan bahawa akan berlaku peralihan kuasa dengan digantikan Perdana Menteri yang ada dengan wakil dari pembangkang?

Memang benar rakyat dan negara cukup tertekan akibat bahana pandemik ini, tetapi sedarlah bahawa ia bukan hanya menular di Malaysia, ia meledak di setiap penjuru dunia. Dan bagi Malaysia ini suatu pengalaman baru yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini sejak negara mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya Raja-raja Melayu membuat teguran kepada Perdana Menteri dan kerajaannya, tegurannya cukup membina iaitu mengharapkan agar langkah-langkah lebih agresif diambil untuk menangani pandemik ini dengan mempertingkatkan kadar vaksinasi dan mencapai sasaran imuniti berkelompok sesegera yang mungkin. Hari ini langkah tersebut sedang dipertingkatkan.

Dalam pada itu Raja-raja Melayu juga mengharapkan perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta yang berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Ia bukannya isyarat bahawa kerajaan yang ada pada hari ini perlu ditukar sebagaimana dengan jahatnya mahu dijolok oleh pihak pembangkang tetapi sesungguhnya ia suatu seruan kepada semua pihak agar diperkukuhkan kerajaan ini dengan harapan segala-galanya dapat ditangani dan dipulihkan secepat mungkin demi keuntungan semua pihak.

Teguran Raja-raja Melayu itu bukannya penghinaan sebagaimana yang mahu digambarkan pihak pembangkang tetapi sesuatu yang perlu dilihat positif, iaitu sumbangan idea dan pandangan jujur Baginda semua ke arah bersama memperbaiki dan memartabatkan lagi kerajaan yang ada iaitu kerajaan ke Bawah Duli Tuanku.

Dan sehubungan itu titah agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah titah yang cukup munasabah dan mencerminkan kehendak dan kemahuan rakyat. Pihak kerajaan diyakini mampu menguruskan perkara ini sekali gus memenuhi kehendak Raja-raja Melayu dan rakyat jelata itu setelah mengambil kira segala peraturan dan arahan yang ada.

Persidangan Parlimen sebelum ini ditangguhkan lantaran penularan pandemik ini. Kiranya ia perlu dan wajar diadakan sekarang, tidak ada sebab ia tidak boleh dilakukan. Masalahnya ada pihak menggembar-gembur seolah kerajaan bimbang untuk memanggil Sidang Parlimen konon-kononnya pihak pembangkang kini memiliki penguasaan yang lebih di Dewan Rakyat, benarkah mereka mempunyai ‘strong, formidable and convincing majority’ sebagaimana selalu dimain-mainkan Ketua Pembangkang itu?

PAS sendiri bersetuju setelah mengambil kira semua langkah yang perlu di waktu pandemik ini, agar Sidang Parlimen diadakan kerana ianya tiang demokrasi tetapi janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan cuba memporak-perandakan keadaan. 

Setakat hari ini Kerajaan PN masih memiliki majoriti dan bakal terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sehinggalah Parlimen dibubarkan. Cita-cita kosong pihak pembangkang kononnya mahu menjatuhkan kerajaan sewaktu persidangan Parlimen ini adalah mimpi di siang hari dan malah kerenah mereka itu akan membosankan rakyat.

Apa pun ternyata Raja-raja Melayu telah memainkan peranan mereka, dan ia akan terus berperanan sebagaimana kuasa yang diperuntukkan padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan. PAS sentiasa menobatkan institusi berdaulat ini dan sejarah membuktikan PAS tidak pernah sesekali durhaka atau mencabar kuasa-kuasanya tidak sebagaimana parti lain khasnya di pihak pembangkang.

Raja dan rakyat adalah tonggak kekuatan negara kita dan peranan bersepadu semua pihak Raja, kerajaan dan rakyat perlu dihormati agar negara terus stabil, makmur dan sejahtera. Semoga dengan kombinasi padu ini negara kita akan berjaya memerangi pandemik ini dengan sebaik mungkin dan atas keprihatianan dan penglibatan semua pihak kita akan mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini bukan masanya untuk berpolitik apa lagi melaga-lagakan antara Raja-raja, kerajaan dan rakyat, mereka yang terlibat dengan kerja-kerja tidak berfaedah ini seharusnya diajar rakyat pada PRU ke-15 nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/6/2021

- Advertisement -