Ustaz Fadzil Noor dan PAS Kedah (Siri Kedua)

PADA PRU ke-6 tahun 1982, Ustaz Fadzil sekali lagi bertanding di DUN Bukit Raya dan kali ini Almarhum berjaya memenangi kerusi tersebut. Bahkan terus mempertahankan kerusi ini selama 4 penggal berturut-turut sehingga PRU ke-9 tahun 1995. DUN Bukit Raya dimenangi PAS sejak tahun 1974 sehingga kini. Hanya tahun 1980-1982 DUN tersebut dimenangi oleh BN.

DUN Bukit Raya menjadi ‘tiang seri’ atau ‘tumang’ kekuatan PAS Kedah. Tahun 1990 PAS tewas di semua kerusi DUN, tetapi DUN Bukit Raya tetap dipertahankan. Terdapat banyak kisah-kisah menarik bagaimana DUN Bukit Raya sentiasa dimenangi PAS. Kekuatan ahli, Cawangan, jentera, ketokohan serta khidmat masyarakat yang dilakukan Hj Ismail Kasim dan Ustaz Fadzil Nor adalah di antara penyumbang terbesar kemenangan. 

Advertisement

Suatu yang menarik, 3 orang ADUN Bukit Raya dari PAS menjadi Exco Kerajaan iaitu Hj Ismail Kasim (kerajaan campuran), Dato Mohd Taulan dan kini Dato Dr Mohd Hayati, kecuali Ustaz Fadzil yang kekal menang tetapi tidak pernah menjadi Exco Kerajaan. Allah takdirkan Almarhum berada di zaman PAS Kedah kalah, namun Almarhum tetap menang dan mewariskan kemenangan kepada generasi berikutnya.

Buktinya PRU ke-10 tahun 1999 Almarhum berpindah ke DUN Anak Bukit dan menang di sana. Sementara DUN Bukit Raya diwakili pula oleh Dato Mohd Taulan Rasul. PRU 1999 itulah, PAS Kedah melakar kejayaan besar, menang 12 kerusi DUN dan ini menjadi pemangkin kebangkitan PAS Kedah untuk mencipta kejayaan sulung mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2008 bersama rakan kerjasama. Walaupun Almarhum tidak sempat menyaksikan kejayaan tersebut, namun kebijaksanaan serta kepimpinan Ustaz Fadzil telah berjaya meletakkan PAS di persada kegemilangan.

Menjelang PRU 1995, di dalam mesyuarat PAS Pusat Dato Hj Mustafa Ali membangkitkan betapa pentingnya Almarhum berada di Parlimen dan telah tiba ketikanya beliau diberi satu kerusi yang selamat. Belum nampak jaminan Almarhum akan menang melalui kerusi Parlimen di Kedah. Tempat yang terjamin pada masa itu ialah Kelantan.

Cetusan tersebut disokong oleh Ustaz Hasim Jasin yang ketika itu sebagai AJK PAS Pusat serta Pesuruhjaya PAS Perlis. Juga disokong oleh beberapa AJK yang lain. ‘Tidak ada masalah’ sahut Ustaz Halim Abd Rahman, Bendahari PAS Pusat yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan. ‘Inilah yang kami tunggu-tunggu. Kita akan sedia satu kawasan selamat’ sambung Ust Halim.

Pimpinan PAS Pusat ingin melihat Almarhum beraksi pula di Parlimen. Selama ini kehebatan Almarhum berhujah disaksikan di DUN Kedah. Biarlah kali ini kita dapat menyaksikan pimpinan yang dikasihi itu menggegarkan Dewan Rakyat pula. Ustaz Fadzil telah mencuba sejak tahun 1978 di Parlimen Kuala Kedah hinggalah dalam tahun 1990 melalui kawasan Pendang tetapi belum pernah berjaya. 

Semua ahli mesyuarat sudah bersetuju untuk Almarhum bertanding di Kelantan. Cuma Almarhum sebagai Pengerusi mesyuarat sahaja yang diam. Beliau mendengar keghairahan rakan-rakannya mahu melihat beliau bersilat di Dewan Rakyat. Akhirnya, beliau mencelah, ‘semua nampak sudah bersetuju. Tapi Pengerusi belum bercakap dan belum setuju’.

Sambung Almarhum ‘Terima kasih minta saya bertanding di Kelantan. Tapi saya kena bertanding di Kedah juga’. Muktamad…

“Kalah menang, tetap di Kedah”

YB SENATOR USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 23/6/2021