PPV di Kedah cukup tampung program vaksinasi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kedah mempunyai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mencukupi untuk menampung program vaksinasi apabila bekalan 52,000 dos yang dijanjikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tiba ke negeri itu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walau pun sehingga kini negeri itu hanya dibekalkan 29,000 dos seminggu, namun dengan kemudahan PPV sedia ada sebanyak 80,000 suntikan berjaya dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Apabila 52,000 dos yang dijanjikan itu sampai, Kedah tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan kerana mempunyai kapasiti PPV mencukupi,” katanya pada sidang media di atas talian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

- Advertisement -

Beliau juga yakin MOSTI berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan program imunisasi dapat diperluaskan.

Tambahnya ia sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu vaksin yang dipesan kerajaan tiba tepat pada masanya.

Sanusi juga berkata, jumlah suntikan berkenaan tidak termasuk program dilaksanakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta di hospital swasta di bawah PhChorp.

“Saya berharap bekalan vaksin lebih banyak dibekalkan kepada Kedah khususnya untuk menjayakan projek ‘tourist bubble’ Langkawi.

“Kita menjangkakan Langkawi akan kembali dibuka kepada pelancong apabila prosedur operasi standard (SOP) membenarkan individu yang selesai menerima dua dos suntikan untuk merentas negeri dan daerah.

“Ini kerana Langkawilah satu-satunya pusat pelancongan yang boleh dikunjungi rakyat Malaysia kerana ia mudah dikawal sebab berada di pulau,” tambahnya.

Katanya juga perkara itu wajar diber perhatian memandangkan Pulau Krabi dan Phuket di Thailand antara saingan destinasi pelancongan melibatkan pelancong antarabangsa.

Justeru itu kata beliau apabila Langkawi dibuka, pasti ia akan menjadi destinasi pilihan pelancong sama ada domestik mahu pun luar negara.

Menurutnya juga Qatar Airways pada pertemuan dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) semalam memberi komitmen melaksanakan travel bubble melalui tujuh penerbangan seminggu daripada 121 destinasi antarabangsa ke Langkawi.

“InsyaAllah kita perlu bersedia untuk perkara tersebut apabila program vaksinasi untuk penduduk Langkawi selesai,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -