Persidangan DUN Kedah selepas Parlimen

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan selepas sidang Parlimen diadakan terlebih dahulu, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya beliau menyembah maklum mengenai perkara itu kepada Tuanku Sultan berkaitan cadangan tarikh persidangan DUN.

“Ini bagi membolehkan sidang DUN membahaskan keputusan-keputusan yang bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan negeri,” katanya pada sidang media secara atas talian selepas mesyuarat Exco hari ini.

- Advertisement -

Mengenai program ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi Sanusi berkata, kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membekalkan lembu korban secara percuma sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

Kata beliau Jabatan Agama Islam Kedah masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) dimuktamadkan berkaitan ibadah korban oleh Jawatankusa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya juga bagi memulihkan sektor pelancongan di Langkawi, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan ‘gelembung perjalanan’ yang disasarkan bermula September depan.

“Untuk itu program vaksinasi khas akan dilaksanakan sekurang-kurangnya 80 peratus atau 61,000 penduduk Langkawi divaksinkan sekurang-kurangnya satu dos.

“Menerusi program ‘gelembung perjalanan’ pelancong yang lengkap dua dos vaksin boleh berkunjung ke Langkawi tanpa halangan,” ujarnya.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khusus untuk kawasan industri di Kulim Hi-Tech Park dan di Sungai Petani bagi menangani peningkatan kes dalam kalangan warga industri.

Selain itu sebuah PPV baharu juga akan dibuka di Gurun. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -