PAS Sabah sambut baik pengambilan 18,702 guru

- Advertisement -

Oleh HAZIMAH LANUS

KALABAKAN: PAS Sabah menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai pengambilan 18,702 orang guru secara one-off baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Ramli Pataruddin menyambut baik pengumuman itu dan sangat bersetuju dengan inisiatif kerajaan Perikatan Nasional.

“PAS Sabah berharap tindakan tersebut hendaklah disegerakan bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Sabah dan Sarawak khususnya dan negeri-negeri lain amnya,” ujarnya.

- Advertisement -

Pada 20 Jun lalu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata,kementerian itu akan melaksanakan pengambilan khas secara one-off seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri.

Menurutnya, negeri yang terutamanya berdepan dengan kekurangan guru adalah Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Katanya, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

“KPM perlukan sejumlah guru untuk mata pelajaran tertentu, tapi bekalan (guru) yang ada untuk subjek tersebut amat terhad. Sebaliknya, bekalan untuk mata pelajaran yang mana opsyennya telah penuh, mungkin lebih ramai.

“Dan disebabkan ketidakpadanan ini, jadi wujud keadaan sukar bagi KPM mengambil guru baharu untuk memenuhi kekosongan yang ada,” katanya.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

Ramli berkata, tindakan perancangan menyusun mata pelajaran mengikut keutamaan juga diharap dapat mengatasi masalah kekosongan dalam mata pelajaran tertentu yang kritikal.

Selain itu, beliau mencadangkan agar pihak kementerian membangunkan perancangan komprehensif tenaga kerja perguruan, mengadakan kajian, unjuran dan keperluan tenaga kerja dalam jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu dan permasalahan seumpama itu daripada berlaku lagi dan dapat diatasi secara tuntas.

Menurutnya, ini kerana aspek pendidikan negara merupakan agenda terpenting dan teras pembangunan negara.

“Tahniah dan terima kasih di atas keprihatinan pihak kementerian dalam mendepani masalah kekurangan guru di Sabah dan Sarawak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -