Langkawi sedia untuk terima pelancong – Sanusi

Pelaksanaan vaksinasi khas sektor pelancongan dan industri dipercepatkan dengan kesediaan PPV dan bekalan vaksin

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri akan menggerakkan program vaksinasi khas Pulau Langkawi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, sasaran 80 peratus ke atas penduduk pulau itu bagi membolehkan ‘gelembung pelancongan’ (bubble tourism) dilaksanakan menjelang bulan September nanti.

- Advertisement -

“Jumlah penduduk Langkawi yang perlu divaksinkan untuk mencapai 80 peratus ini ialah 61,000 orang. Selepas 61,000 orang ini menerima vaksin masing-masing, sekurang-kurangnya satu dos, rakyat Malaysia yang telah menerima dua dos boleh memulakan percutian dan pelancongan mereka ke Pulau Langkawi,” umum beliau.

Jelasnya usaha itu telah diselaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pejabat Daerah Langkawi bersama beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mempercepatkan proses tersebut.

Maklum beliau, Kedah menerima 29,000 dos seminggu, tetapi dijanjikan 52,000 dos dalam bulan ini di mana MOSTI sedang bertungkus-lumus untuk vaksin tersebut sampai tepat sebagaimana dipesan.

“Sejak dua minggu lalu, kita ada keupayaan untuk membuat suntikan 80,000 seminggu walaupun kita hanya terima 29,300 lebih kurang bekalan vaksin, tapi kita ada kapasiti untuk membuat 80,000 suntikan.

“Kalau sampai 52,000 vaksin, kita masih dalam kapasiti untuk membuat suntikan, tidak termasuk di PIKAS yang dilaksanakan oleh MITI dan juga beberapa suntikan di hospital swasta di bawah.Khususnya untuk projek ‘bubble tourism’ di Langkawi itu, kita harap dia tidak termasuk 52,000 yang dijanjikan itulah. 

“Untuk Langkawi kita nak proses vaksinasi ini supaya selepas sebaik saja SOP membenarkan orang-orang yang telah divaksin ini untuk membuat perjalanan rentas daerah, rentas negeri, maka kita akan membuka sektor pelancongan di Langkawi,” ujarnya.

Menurutnya, Langkawi satu-satunya pulau pelancongan boleh dikunjungi rakyat Malaysia dan senang dikawal di mana perhatian patut diberi kerana negara ada saingan kepada pulau-pulau pelancongan dengan Phuket dan Krabi di Thailand.

“Bila Phuket dan Krabi dibuka, kita patut pastikan juga Langkawi turut menjadi destinasi pilihan pelancong domestik dan juga pelancong Antarabangsa. Saya telah memaklumkan sebelum ini bahawa Qatar Airways telah bersedia bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ‘bubble travel’.

“Mereka sekali lagi semalam telah sekali lagi memberikan komitmen untuk membuat penerbangan 7 kali seminggu daripada 121 destinasi antarabangsa untuk masuk ke Langkawi. 

“Kita harap kita dapat ready untuk melaksanakan ‘bubble travel’ ini selepas program vaksinasi khusus untuk Pulau Langkawi dapat dilaksanakan,” ujarnya selepas Mesyuarat Exco secara atas talian.

Menyentuh vaksinasi di kawasan industri, terangnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan pasukan khas di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS). 

Menurut beliau, ia kini diuruskan PPV di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Sungai Petani dan Gurun melibatkan kawasan industri dengan kendalian Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) ke atas pekerja sektor industri.

Berhubung kes positif COVID-19 yang banyak berlaku jangkitan dari pekerja industri, jelas beliau data menunjukkan kes tidak terjadi di kilang-kilang tetapi tempat tinggal atau asrama-asrama pekerja.

Katanya, hanya terdapat 5.76 peratus kes positif dalam sektor industri yakni tercetus di premis kerja, tetapi selain daripada itu yang banyaknya adalah datang dari kluster tempat tinggal pekerja. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -