Kedah makin mendapat kepercayaan pelabur asing

- Advertisement -

ALOR SETAR: Peningkatan kemasukan pelaburan di Kedah membuktikan kepercayaan pelabur terhadap kerajaan negeri sekarang termasuk keupayaan menyediakan tapak industri yang baik.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, peningkatan pelaburan itu secara tidak langsung menyemarakkan lagi pembangunan dan ekonomi Kedah yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

- Advertisement -
ahmadyahya
Senator Ahmad Yahaya

“Tahniah kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di atas kejayaan dan keupayaan sehingga menyakinkan pelabur untuk memilih Kedah,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan perbincangan bersama deligasi pelabur Austria yang diketuai Duta Besar Austria ke Malaysia, H.E Mr Micheal Postl di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman.

Kedatangan delegasi tersebut bagi meneruskan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC ) yang bermula sejak Februari lalu.

Rombongan terbabit juga meninjau kawasan yang akan dibina kilang di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP).

AT & S merupakan pengeluar utama dunia bagi produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates.

Berikutan itu Kedah menerima pelaburan sebanyak RM8.5 bilion oleh syarikat Austria Technologie and Systemtechnic AG (AT & S) yang bakal menyediakan 15,000 peluang pekerjaan.

“Sekurang-kurangnya 5,000 orang jurutera dalam disiplin berkaitan diperlukan oleh syarikat berkenaan dalam fasa pertama yang akan mula beroperasi pada tahun 2024,” kata Sanusi, semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim; Exco Pelaburan Kedah Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail; wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Kedah serta pegawai-pegawai kanan syarikat AT & S.

Ahmad juga berkata, keuntungan daripada pelaburan yang masuk ke Kedah tentunya membawa faedah secara langsung kepada rakyat selain membuka ruang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Ia juga bakal merancakkan projek hiliran seperti premis jualan, rumah sewa, kedai makan dan lain-lain. Manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.

Kata beliau kejayaan itu perlu disyukuri semua pihak termasuk pembangkang kerana manfaatnya dapat kecapi tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

Bagaimanapun beliau meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pihak yang mahu kerajaan negeri berkongsi kejayaan pelaburan itu bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

“Pelabur ini bukan bawa duit ‘seketoi-seketoi’ yang boleh diagih sana-sana.

“Pembangkang pun ikut tak cerdik sama, menyindir dan mempermainkan hal yang sama. Sedangkan kita patut bersyukur dan berusaha agar lebih ramai lagi pelabur datang melabur di Kedah,” tambahnya.

Pada 10 Jun lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan syarikat AT & S untuk melabur sebanyak RM8.5 billion bagi membangunkan fasiliti kilang mereka yang pertama di Asia Tenggara di KHTP. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -