Kedah bakal kuasa industri dan pusat Asia Tenggara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah akan bangkit sebagai kuasa industri yang tersohor di Malaysia dan menjadi pusat kepada Asia Tenggara atas kedudukan geografinya, tanpa meninggalkan fokus pengeluaran makanan dalam bidang pertanian.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melontarkan keyakinan itu dalam sidang media secara atas talian yang diadakan selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri juga secara atas talian, di sini hari ini.

- Advertisement -

“Inilah kelebihan-kelebihan negeri Kedah yang perlu diangkat sebagai satu kelebihan yang ada untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan Malaysia dan kekuatan baru kuasa ekonomi dunia.

“Dan Kedah antara ‘player’ ataupun kerajaan negeri yang menjadi pilihan utama dalam sektor ini,” ujarnya mengulas kemasukan pelaburan baharu terkini bernilai RM8.5 bilion menyusuli RM43 bilion yang diterima bagi suku pertama tahun 2021.

Kata beliau, ia satu pencapaian besar bagi Malaysia khususnya di Kedah dalam keadaan dunia menghadapi pandemik COVID-19, namun tetap menerima kemasukan pelabur-pelabur besar ke negara ini.

“Semua ini untuk kita sediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah, rakyat Malaysia dan membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Construction sedang berjalan di tapak oleh Risen, syarikat yang akan melabur dalam bidang solar. 

“Saya harap ini juga tidak menghadapi halangan perancangan membangunkan kilang mereka akan berlangsung mengikut jadual. Dan ini juga mampu menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Kedah dalam bidang berkaitan. 

“Saya mengalu-alukanlah kemasukan pelabur-pelabur ini ke Kedah kerana kita telah membuka banyak pusat industrial park kita ada di Special Border Economic Zone, kita ada Nortern Gateway juga di Bukit Kayu Hitam. 

“Selepas ini Kedah Science And Technology Park juga di Bukit Kayu Hitam. Kita ada KRC Kedah Rubber City di Padang Terap dan kita akan bangunkan juga kawasan-kawasan industri di tempat lain seperti di Gurun dan juga Sungai Petani,”

Sanusi mengucapkan jutaan penghargaan kepada pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kerajaan Persekutuan.

“(Kepada) KTPC (Kulim Technology Park Corporation) dan pegawai-pegawai kerajaan negeri di BPEN (Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri), di Invest Kedah, di pihak berkuasa Kulim Hi-Tech, Majlis Perbandaran Kulim. 

“Semua telah bekerja secara profesional sehingga mampu meyakinkan pelabur terbesar di dunia dalam sektor yang berkaitan untuk memilih Kedah sebagai destinasi mereka bagi Asia Tenggara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -