Jangan simpan bisul pada bahagian dubur : Dapatkan rawatan segera

- Advertisement -

oleh Ms (Dr) Afizah Salleh dan Dr Rosnani Zakaria

Bisul adalah keadaan yang pernah dialami oleh kebanyakkan orang, terutamanya golongan kanak-kanak dan mereka yang berumur lanjut. Bisul boleh terbentuk pada mana mana bahagian badan yang berkulit terutama di tempat yang lembap.

Bisul pada bahagian dubur boleh berlaku apabila terdapat pengumpulan nanah pada dubur (anus). Ia boleh terjadi pada bahagian sekeliling dubur, di antara dua otot sfinkter iaitu organ yang diperlukan untuk mengemut bukaan dubur dan juga dibahagian dalam dubur antara tulang punggung dan bahagian usus hujung yang dipanggil rektum.

- Advertisement -

Beberapa teori dicadangkan oleh pakar bedah tentang bagaimana bisul di kawasan ini boleh terjadi. Cryptoglandular theory adalah teori yang diperkenalkan oleh Eisenhammer dan Park. Ia menyatakan bahawa nanah pada bahagian dubur ini, 90% adalah disebabkan oleh penyumbatan duktus (saluran yang mengalirkan cecair) yang terdapat pada bukaan dubur.

Terdapat banyak kelenjar pada ruangan antara sfinkter yang berfungsi untuk mengeluarkan lendir. Lendir ini disalurkan ke bahagian duktus untuk melancarkan pengeluaran najis. Penyumbatan pada duktus ini menyebabkan cecair itu tidak boleh mengalir dan akan bertakung di dalam duktus sahaja dan lama-kelamaan akan menyebabkan terjadinya jangkitan kuman.

Organism atau bakteria penyebab bisul ini terdiri daripada E.coli, Bacteroides spp. dan Enterococcus spp. Semua bakteria ini banyak terdapat di bahagian usus dan najis. Sebab- sebab lain yang boleh menyebabkan pengumpulan nanah ini berlaku dalah seperti keradangan kronik pada usus, jangkitan kuman TB, kecederaan dan darah beku, pembedahan seperti pembedahan buasir, luka semasa bersalin dan kanser usus atau kanser dubur.

Gejala yang biasa dialami bagi masalah ini adalah sakit di sekitar dubur yang menjadi semakin teruk apabila duduk, kulit bengkak dan merah, gatal dan pengaliran cecair yang berbau busuk di bahagian dubur. Jika nanah terlalu banyak, pesakit mendapat gejala yang lebih teruk seperti demam panas, menggigil dan sakit seluruh badan. Apabila diperiksa, selalunya terdapat bengkakan merah yang panas dan sakit apabila disentuh di sekitar bukaan dubur.

Namun ada juga pesakit yang apbila diperiksa tidak ada bengkak ataupun tanda di bahagian kulit. Pemeriksaan ke dalam bukaan dubur adalah penting dalam kes ini dan akan terdapat benjolan sakit di dalam bukaan dubur. Kes seperti ini memerlukan pemeriksaan lanjut di bilik bedah dengan pemberian ubat bius untuk menentukan keadaan sebenar dan rawatan selanjutnya.

Ada juga sesetengah keadaan di mana, bantuan pemeriksaan radiologi seperti ultrasound, CT scan dan MRI diperlukan untuk meneliti kedaan sebenar sebelum pembedahan boleh dilakukan. Walaupun tiada bengkak atau sakit di bahagian kulit luar sekitar dubur, nanah boleh berkumpul di bahagian yang lebih dalam seperti di antara sfinkter, di bahagian atas otot levator dan merebak ke ruang pelvis.

Apabila terdapat pengumpulan nanah walau di mana sahaja, rawatan utama adalah dengan mengeuarkan nanah tersebut dengan cara pembedahan. Pemberian antibiotik sahaja tanpa mengeluarkan nanah tidak akan berkesan. Rawatan antibiotik dan juga pembedahan akan diberikan kepada pesakit yang kurang imuniti seperti pesakit kencing manis, keadaan radang pada kulit yang terlalu teruk atau keadaan dimana kuman sudah merebak ke seluruh badan.

Pengumpulan nanah di sekitar dubur ini, jika rawatan ditangguhkan atau diagnosis lambat dibuat boleh menyebabkan satu keadaan yang dipanggil gangrene atau bahasa perubatannya necrotizing infection atau Fournier’s gangrene. Keadaan ini boleh berlaku apabila pesakit mempunyai tahap imuniti yang rendah seperti penghidap kencing manis, kanser dan masalah buah pinggang kronik.

Kuman akan merebak sangat cepat di bahagian tisu lemak di bawah kulit dan menyebabkan kematian tisu-tisu tersebut yang boleh merebak hingga ke bahagian otot (daging) dan juga ke kawasan kemaluan. Keadaan ini memerlukan rawatan segera dengan membuang semua tisu mati dan memberi antibiotik melalui saluran darah bagi mengawal keadaan ini. Gangren adalah keadaan serius yang boleh membawa maut.

Selepas pesakit menerima rawatan pembedahan membuang nanah, mereka perlu membuat cucian luka dan sitz bath (merendam punggung dan bahagian luka dengan air garam) sehinggalah luka tersebut tertutup dengan sendiri. Ini boleh memakan masa sehingga sebulan atau lebih bergantung kepada saiz nanah dan luka torehan yang dibuat semasa pembedahan. Luka torehan tidak boleh dilakukan terlalu kecil kerana jika kulit luar tertutup terlalu cepat sebelum luka di bahagian dalam betul-betul bersih, nanah boleh berkumpul semula.

Walaubagaimanapun 37% daripada kes yang dibedah memang berisiko mendapat masalah berulang kerana keadaan anatomi di bahagian sekitar dubur dan pelvis (bahagian di bawah abdomen dan sekitar punggung) yang mempunyai banyak lemak dan ruang longgar yang menyebabkan kuman boleh merebak.

Satu lagi risiko jangka panjang untuk pesakit dengan bisul dubur ini adalah pembentukan fistula ataupun lorong yang menghubungkan 2 kaviti (ruangan) ataupun 2 permukaan epithelium (kulit).

Fistula in Ano, adalah keadaan dimana terbentuknya lorong atau laluan yang menghubungkan kulit di bahagian sekitar dubur dan juga bahagian dalam rektum. Ini bermakna najis didalam rektum boleh mengalir keluar melalui lorong ini dan menyebabkan masalah yang agak serius. Sekitar 50% kes bisul dibahagian dubur boleh mendapat komplikasi ini.

Fistula in ano boleh juga dikesan semasa pembedahan membuang nanah dan pembedahan bagi menghilangkan keadaan ini boleh terus dilakukan iaitu fistulotomy (membuang lorong fistula ). Namun begitu terdapat risiko kerosakan pada sfinkter jika ianya dilakukan semasa pembedahan membuang nanah. Kerosakan pada sfinkter ini boleh menyebabkankan hilangnya fungsi kemutan pada dubur dan pesakit tidat dapat mengawal pembuangn angin dan najis dengan baik. Pilihan yang ada, adalah melakukan pembedahan fistula selepas luka pembuangan nanah sembuh.

Perkara yang paling penting di sini adalah untuk tidak menangguhkan rawatan dan membiarkan nanah pecah sendiri ataupun hanya mengambil antibiotik. Dalam keadaan pandemik covid-19 ini, penyakit lain juga perlu diambil perhatian dan tidak ditangguhkan rawatannya. Teruskan dengan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan bersih supaya kesihatan dan imuniti badan berada pada tahap optimum. Kawal penyakit kronik yang sedia ada dengan terus mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A “ Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Dia menurunkan ubatnya.” Riwayat Al-Bukhari ( 5678 ).

Dan dalam ayatnya Allah berfirman “maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui” ( An-Nahl:43 )

Hukum mendapatkan rawatan adalah amat dituntut oleh agama kerana ia selari dengan salah satu daripada maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Ia juga tidaklah menolak konsep tawakal itu sendiri kerana ia adalah salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan. Ubat dan rawatan adalah ikhtiar dan yang menyembuhkan penyakit adalah daripada Allah S.W.T jua. Semoga kita lebih sihat untuk beribadah.

Ms Afizah Salleh adalah Pakar Perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar An-Nur dan Dr Rosnani Zakaria adalah Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia

- Advertisement -