Covid-19: Tingkat sagu hati tanda iktiraf sukarelawan

Foto hiasan.
- Advertisement -

TANGKAK: Peningkatan bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan terlibat dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam disifatkan sebagai pengiktirafan kepada golongan itu, sekali gus mendorong semangat mereka di lapangan termasuk golongan belia.

Penuntut Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Kerja Sosial) Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Shazwan Abdul Ghani, 22, berkata bayaran itu merupakan khabar gembira dan sebagai galakan kepada golongan belia sepertinya untuk memikul tanggungjawab itu dengan lebih berdedikasi.

- Advertisement -

“Saya rasa gembira dan ia merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada golongan sukarelawan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawan. Sagu hati yang dapat ini saya akan buat simpanan untuk masa depan terutamanya untuk kegunaan ketika waktu pembelajaran.

Inisiatif ini pastinya mampu menarik lebih ramai individu tampil menjadi sukarelawan kesihatan bagi menyumbang kepakaran dan tenaga mereka dalam membantu usaha menangani penularan Covid-19 sekali gus mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Muafakat Bukit Gambir, dekat sini, semalam. 

Penuntut yang bergiat aktif sebagai sukarelawan ‘Malaysia Vaccine Support Volunteers’ (MyVac) sejak April tahun ini berkata penyertaannya dalam bidang kesukarelawan itu mendekatkan dirinya dengan pelbagai lapisan masyarakat selain dapat meringankan beban yang dipikul petugas kesihatan di PPV.

Seorang penjawat awam, Mohd Fahmi Ali, 33, menyifatkan pengumuman itu umpama “bonus” yang tidak pernah dijangka dan bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan sukarelawan yang banyak menyumbang masa dan tenaga mereka. 

“Kali pertama menyertai pasukan barisan hadapan, saya bangga melihat semangat mereka yang tetap tabah walaupun penat. Malah mereka sentiasa berusaha memberikan layanan yang terbaik kepada masyarakat. Itu yang menginspirasikan saya untuk terlibat sebagai sukarelawan kesihatan ini.

“Sebenarnya wang bukanlah menjadi ukuran… namun, saya tetap bersyukur atas pemberian ini dan sebagai sukarelawan saya akan cuba sedaya upaya membantu apa-apa yang patut bagi negara mencapai imuniti kelompok. Lagipun memang sejak kecil saya suka membantu orang di sekeliling,” kata Mohd Fahmi yang juga sukarelawan MyVac.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peningkatan bayaran sagu hati sukarelawan petugas kesihatan kepada RM100 sehari berbanding RM50 sebelum ini, sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.

Pembayaran yang bermula bulan ini akan melibatkan 19,000 sukarelawan yang bertugas lebih 12 jam dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta, dan ia diberikan kepada semua sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan. – BERNAMA

- Advertisement -