Covid-19: Tanggungjawab bersama bukannya sepihak

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh BAKRI JAMALUDDIN

CUKUP-CUKUPLAH kita bermain politik dan marilah kita bersama-sama menggembleng buah fikiran, tenaga dan usaha untuk membendung penularan Covid-19.

Alhamdulillah walaupun dalam suasana kerajaan yang tidak stabil dan ‘virus politik’ berubah menjadi ‘pandemik’ dan semakin menjadi-jadi, setidak-tidaknya kita dapat melihat walaupun masih tinggi, tetapi graf jangkitan baharu Covid-19 mulai menurun.

Hari ini sekitar 180,000 hingga 220,000 suntikan vaksin dapat dibuat melangkaui jangkaan asal sekitar 100,000 hingga 150,000 sehari, patut kita syukuri.

- Advertisement -

Alhamdulillah jumlah rakyat yang telah menerima vaksin lengkap adalah sekitar lima peratus mengatasi negara-negara Asean lain kecuali Singapura.

Tempoh untuk membentuk imuniti kelompok insya-Allah akan dapat dicapai pada penghujung Oktober atau awal November, juga merupakan suatu usaha baik kerajaan berbanding rancangan asalnya pada bulan Februari 2022.

Terbaru sekitar 13,000 hingga 14,000 kes baharu direkodkan sehari di negara jiran Indonesia. Sekitar 300 kematian sehari merupakan suatu yang amat menyedihkan. Bilangan ini dijangka akan meningkat sekiranya data ini akurat.

Seperti Malaysia peningkatan mendadak ini juga berpunca dari sikap tidak acuh dan kurang disiplin netizen dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan.

“Pulkam’ atau ‘mudik’ merupakan budaya pulang ke kampung masyarakat Islam Indonesia untuk merayakan lebaran serta bertemu ibu bapa dan sanak saudara di desa. Ini jugalah antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan mendadak di Indonesia.

Disiplin diri, kepatuhan kepada SOP, suntikan vaksin adalah antara faktor perlu dilakukan secara bersama-sama bagi mengurangkan jangkitan wabak yang membunuh ini.

Jika bergantung pada vaksin semata-mata belum memadai kerana ia memerlukan waktu yang agak panjang untuk mencapai imuniti kelompok.

Sebagai contoh walaupun di UK, 16.7 juta atau 47.2 peratus penduduknya telah menerima suntikan vaksin tetapi data yang dicatatkan pada 20 Jun 2021, seramai 10,600 kes baharu. Amerika Syarikat pula 150 juta atau 46 peratus telah menerima suntikan tetapi sekitar 9,000 kes baharu dengan 200 kematian.

Oleh itu melawan Covid-19 ini bukanlah tugas sepihak iaitu kerajaan atau frontliner sahaja tetapi  adalah tugas bersama dan memerlukan komitmen daripada kerajaan, ahli-ahli dan parti-parti politik dan semua lapisan masyarakat.

Di samping apa yang saya sebutkan di atas, kejayaan Australia, New Zealand, Taiwan dan Hong Kong mengawal penularan Covid-19 adalah kerana sistem komunikasi yang baik dan berkesan.

Komunikasi sangat penting bagi memberikan maklumat yang tepat dan betul kepada rakyat. Ianya menjadi medium untuk mendidik dan menyedarkan rakyat.

Di New Zealand, Australia, Hong Kong dan Taiwan, pembangkang, intelektual, ahli politik, kerajaan dan pemain media sosial semuanya bersatu memainkan peranan yang penting bagi memastikan komunikasi yang lancar dan berkesan.

Mereka tahu pandemik Covid-19 ini bukan isu politik, bukan isu perkauman tetapi isu bersama. Semua mereka menanggung risiko jangkitan yang sama.

Malangnya di negara kita komunikasi tidak berjalan dengan lancar dan berkesan. Berlakunya information breakdown dan information interference menyebabkan rakyat jadi keliru dan bingung dan akhirnya ingkar SOP dan berbagai-bagai lagi.

‘Cyber trooper’ lebih patuh kepada tuannya, orang politik menangguk di air yang keruh, saling tuduh menuduh mahu jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. Rakyat yang tidak berparti jadi keliru dan bosan.

Sebaiknya semua pihak melakukan genjatan politik agar masalah Covid-19 ini dapat ditangani bersama.

Setelah masalah Covid-19 selesai berhentamlah tidak apa-apa untuk merebut kuasa kerana waktu itu nyawa rakyat sudah tidak menjadi taruhan lagi.

Saya tidak menulis untuk kepentingan mana-mana parti, tetapi mengutarakan apa yang ada dalam pemikiran saya demi melihat nyawa dan kebajikan rakyat tidak terabai disebabkan oleh beberapa faktor yang saya nyatakan di atas.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu mengambil inisiatif menyedarkan rakyat akan pentingnya suntikan vaksin, patuh SOP dengan menyalurkan maklumat yang betul dan benar dan bukan sebaliknya.

Semoga Malaysia akan kembali sejahtera seperti sediakala. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu.

- Advertisement -