Rakyat tahu kerajaan mana gagal tadbir negara

- Advertisement -

PANDAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad yakin rakyat tahu kerajaan mana yang gagal mentadbir negara.

Katanya, walaupun Pakatan Harapan (PH) menyerang bertubi-tubi kerajaan Perikatan Nasional hari ini namun kerajaan 22 bulan itu lebih diingati rakyat sebagai satu kerajaan yang telah gagal.

Contohnya, kata beliau, mereka tidak dapat melaksanakan janji-janji pilihan raya umum 2018 sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH iaitu menghapuskan tol, menghapuskan AES dan gagal menghapuskan PTPTN.

- Advertisement -

Kamaruzaman berkata demikian ketika Majlis Penerangan Dan Dialog Isu Semasa anjuran PAS Kawasan Pandan dan PAS Kawasan Ampang yang berlangsung di atas talian (online), semalam.

Tambahnya, propaganda memburuk-burukkan Kerajaan Perikatan Nasional mungkin bertujuan untuk menutup kelemahan-kelemahan PH ketika menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, beliau yakin rakyat tidak akan lupa dengan tindakan yang diambil ketika PH menjadi kerajaan dan itu menjadi pengalaman pahit rakyat.

Beliau turut memaklumkan prestasi kerajaan hari ini jauh lebih baik tetapi kemungkinan besar maklumat tentang kejayaan-kejayaan itu tidak disebarkan secara meluas.

Justeru beliau menggesa setiap ahli PAS membantu menyebarkan maklumat-maklumat tersebut.

Beliau mahu setiap ahli menganggap diri mereka sebagai ejen penerangan parti yang bertanggungjawab untuk mengukuhkan parti dan kerajaan. – HARAKAHDAILY 22/6/2021