PSR: Alasan kerajaan negeri bercanggah keperluan penduduk

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Alasan yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meneruskan projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) berlawanan dengan keperluan dan masalah yang dihadapi rakyat negeri itu.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan, idea asal membangunkan PSR adalah untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang kononnya untuk menyelesaikan kesesakan jalan raya di negeri itu.

Namun, beliau berpandangan bahawa sebaliknya berlaku apabila kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membangunkan tiga lebuh raya yang termasuk dalam cadangan pelaksanaan projek PSR dan PTMP.

- Advertisement -

“Umum mengetahui bahawa tujuan utama kerajaan negeri melaksanakan PSR, yang kini dikenali sebagai PSI (Penang South Island) ialah untuk membiayai PTMP.

“PTMP yang pada mulanya nilai PTMP seperti yang ditawarkan oleh Halcrow pada waktu itu ialah lebih kurang RM20 bilion sahaja.

“Namun apabila projek ini dikomersialkan dan digembar-gemburkan, banyak developer atau pemaju telah menjadi sebahagian daripada stakeholder ataupun projek implemental dalam PSR.

“Maka nilai PSR ini melambung ke RM46 bilion dan apa yang menjadi persoalan atau ironinya ialah, apabila kerajaan negeri Pulau Pinang bermula dengan premis untuk menguruskan lalu lintas atau kesesakan lalu lintas di negeri Pulau Pinang dengan membina LRT.

“Tetapi kalau kita mengkaji atau meneliti PTMP yang baharu, (ia) bukan seperti yang dicadangkan oleh Halcrow, yang mana PTMP ini (telah) mencakupi pembinaan tiga lebuh raya.

“Ini merupakan satu kontradiksi kerana sekiranya kita ingin menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, mengapa kita ingin membina lebih banyak lebuh raya di pulau? Ini akan menambah bilangan kenderaan di pulau, bukan selesaikan masalah lalu lintas di pulau.

“Jadi pada pandangan saya, sebenarnya PSR ini matlamatnya bukan sahaja untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas di negeri Pulau Pinang.

“Kerana kalau kaji secara mendalam, aliran trafik di Pulau Pinang, aliran trafik kebanyakan datang daripada tanah besar, bukan bermula daripada dalam pulau.

“Itu juga merupakan satu kontradiksi dalam konteks pembangunan tiga pulau itu,” ujarnya dalam wawancara berjudul ‘Epilog: PSR-Makna Sebenarnya’ yang bersiaran secara langsung melalui Facebook dan YouTube Dialek TV, pada Isnin.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga telah menambah satu lagi naratif baharu mengenai pembangunan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang itu dengan mendakwa pelaksanaannya bertujuan untuk meluaskan kawasan industri di negeri itu.

Kata Dr Azeem, ia juga merupakan satu lagi matlamat yang mempunyai justifikasi lemah apabila secara logiknya kawasan Pulau Pinang di sebelah Tanah Besar tidak dimanfaatkan untuk tujuan itu.

“Kerajaan negeri memerlukan tanah yang lebih luas untuk pembangunan industri, ini juga merupakan satu justifikasi yang amat lemah.

“Mengapa kita perlu bina tiga pulau lagi untuk meluaskan industri di Pulau Pinang sedangkan tanah di Seberang Prai banyak. Banyak lagi yang belum diterokai ataupun belum digunakan.

“Jadi ini semua saya rasa ‘there’s more to this than meets the eye‘.

“Ada banyak lagi benda tersirat dalam fasa pembinaan tiga pulau ini selain daripada apa yang dikatakan, iaitu pembiayaan untuk membina pegangkutan awam di Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku berkemungkinan merupakan tekanan yang datang daripada pihak pemaju yang terlibat dalam pembinaan tiga pulau itu.

Malah, beliau menegaskan bahawa projek yang diusahakan itu tidak akan memanfaatkan penduduk dan rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan rendah seperti golongan M40 dan B40.

“Golongan B40, M40 tidak akan boleh bersama dalam konteks pembangunan tiga pulau ini, kerana rata-rata kita tahu apabila tanah itu ditambak, nilai tanah itu akan melambung tinggi.

“Dan, bagaimanakah pihak-pihak pemaju ingin menjalankan tanggungjawab sosial mereka kerana kita tahu apa yang dikejar oleh pemaju selalunya ialah keuntungan.

“Jadi pada pandangan saya, pembangunan tiga pulau ini akan membawa lebih banyak kesan negatif daripada kesan-kesan positif yang diwarwarkan oleh pihak pemaju dan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Dr Azeem, pada 2015, Pusat Penyelididkan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM telah diminta oleh mantan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Haji Yahya yang ketika itu Timbalan Menteri Kesihatan untuk mengkaji impak sosial yang bakal dihadapi penduduk di kawasan sekitar PSR.

Ketika itu, USM telah membuat satu kajian yang komprehensif mengenai PSR sebelum ia menjadi isu yang dibincangkan secara meluas.

“Kami telah melaksanakan satu kajian impak sosial dan kami juga melibatkan beberapa orang marine biologist untuk mengkaji kesan negatif dan positif projek PSR ini terhadap komuniti di kawasan Teluk Kumbar, kawasan Balik Pulau dan kawasan-kawasan yang terlibat.

“Kami telah menemu bual nelayan, penternak-penternak ikan dalam sangkar di Pulau Pinang, dan membuat kajian ekosistem di kawasan tersebut dan sebagainya.

“Hasil daripada kajian ini sebenarnya telah pun dibentangkan kepada mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Pada hemat saya, Yang Berhormat Menteri ketika itu bersetuju dengan dapatan kajian kami dan beliau telah tidak meluluskan permohonan kelulusan untuk mendapatkan EIA (kelulusan EIA),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -