Program vaksinasi besar-besaran di Langkawi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Program vaksinasi secara besar-besaran akan dilaksanakan di Langkawi sebelum pulau berkenaan dibuka kepada pelancongan domestik November ini.

Exco Pelancongan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, ia sejajar dan selari dengan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri dalam kenyataannya pada 14 Jun lalu.

Menurut beliau, vaksinasi secara besar-besara itu dijangka mampu mencapai status imuniti kelompok sekurang-kurangnya 70 peratus yang melibatkan sektor pelancongan sebelum ia dibuka kepada umum.

- Advertisement -

“Oleh demikian Langkawi antara yang diberi keutamaan untuk mendapatkan status imuniti kelompok terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya lagi pemain industri tempatan telah sekian lama tenat dan sentiasa mengharapkan agar sektor ini dapat dibuka semula walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Justeru itu pembukaan semula industri pelancongan ini dapat mengimbangi kerugian dan sekali gus meningkatkan semula pendapatan mereka yang terjejas.

“Kerajaan Persekutuan juga di dalam Pelan Pemulihan Negara ada mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Namun begitu bergantung kepada perkembangan semasa kes jangkitan Covid-19 pada waktu itu,” tambah beliau.

Oleh itu kata Firdaus, untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang disasarkan pada September ini, sekurang-kurangnya 30,530 penduduk Langkawi perlu selesai divaksinasikan.

Namun ujarnya lagi, untuk tempoh ini hanya sekitar 76,400 orang yang mendaftar berbanding populasi jumlah penduduk pulau itu seramai 111,500 orang.

“Oleh itu pihak Kementerian Pelancongan Malaysia bersama agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga kerajaan negeri akan menggembleng tenaga dan berusaha agar garis masa yang ditetapkan berjaya.

“Selain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu atau menyediakan khidmat pemberian vaksin dari rumah ke rumah akan dilaksanakan dan digerakkan secara aktif,” maklum Adun Kuah itu lagi.

Berikutan itu, garis masa kempen itu dijadualkan antara 28 Mei hingga 10 Jun (Tourism Player Involvement) 11 Jun hingga 26 Julai (Community Awareness), 27 Julai  hingga 10 Ogos (Marketing Campaign) dan Ogos (Travel Bubble Lobbying).

“Untuk itu saya menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama berjuang ke arah matlamat ini, sentiasa mematuhi SOP dan segera mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

“Kejayaan usaha ini tentunya bergantung juga kepada bilangan kes Covid -19 pada waktu itu,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -