PPV pandu lalu pertama di Terengganu mula hari ini

- Advertisement -

MARANG: Terengganu memulakan operasi perkhidmatan pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu pertama di negeri ini di Dewan Sivik Bukit Payung, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar berkata, Marang menjadi daerah pertama melaksanakan perkhidmatan itu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

- Advertisement -

“Pihak pengurusan Pejabat Daerah dan Tanah Marang telah mengadakan mesyuarat dan mendapat persetujuan untuk melaksanakan khidmat suntikan pandu lalu ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke PPV berkenaan, pagi tadi.

Beliau berharap dengan pelaksanaan khidmat pandu lalu itu, peratusan penerima vaksin di Terengganu bertambah bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Hadir sama dalam tinjauan tersebut, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Sementara itu, menurut Tun Faisal, perkhidmatan pandu lalu itu dilaksanakan untuk pemberian dos kedua bagi penerima vaksin terlebih dahulu.

“Kita menjangkakan apabila perkhidmatan pandu lalu ini diteruskan jumlah suntikan harian akan mencapai maksimum dos sehari,” ujarnya. – TRDI.my

- Advertisement -