Patuhi saranan ‘Tindakan Kesihatan Awam Kendiri’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan “Tindakan Kesihatan Awam Kendiri” sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes-kes sporadik.

- Advertisement -

Ini susulan jumlah kes harian Covid-19 masih berada pada paras yang tinggi melebihi 4,000 kes sehari walaupun sekatan pergerakan penuh (lockdown) yang bermula 1 Jun lalu telah memasuki minggu ketiga.

Menurut KKM, kes sporadik juga masih berada pada peratusan yang agak tinggi dan bilangan kluster kian bertambah saban hari.

Kelmarin, KKM memaklumkan 22 kes varian baharu Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan.

“Setakat ini, Selangor dilaporkan mempunyai 45 kes varian VOC Beta (B.1.351) penularan tempatan,” ujar KKM menerusi laman Facebooknya, malam tadi.

Katanya, implikasi kepada perkara di atas, kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan dari kes-kes Covid-19 ini tidak mempunyai gejala.

“Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai Covid-19 di kalangan masyarakat.

“Tambahan, VOC juga jumlah VOC penularan tempatan juga semakin meningkat,” jelasnya.

Oleh itu, ujarnya adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya Covid-19.

Sehubungan itu, KKM ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP dan mengamalkan ‘Tindakan Kesihatan Awam Kendiri’ sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes-kes sporadik dan kes Covid-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

Menurutnya, antara Tindakan Kesihatan Awam Kendiri yang boleh diambil oleh masyarakat adalah seperti berikut:-

– Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar;

– Sekiranya perlu keluar, patuhilah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN);

– Optimumkan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat-sahabat dan sanak-saudara;

– Gunakan perkhidmatan atas talian sekiranya perlu membuat sebarang pembelian;

– Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah/negeri anda untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/hotline;

 – Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Anda berisiko menjangkiti orang lain. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera; dan

– Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -