PASKIM semarak kempen ‘PAS Pilihanku’

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) bersedia menghadapi PRU15 dengan menggiatkan lagi usaha penambahan ahli di semua peringkat menerusi kempen “PAS Pilihanku – Jom sertai PAS”.

Kempen ini adalah inisiatif yang berterusan dan ianya telah dirancakkan lagi sempena dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini setelah program tidak dapat dibuat secara bersemuka. 

- Advertisement -

“Kita lancarkan program ini untuk gerakkan ahli-ahli kita di musim PKP dengan cara di atas talian. Antara yang kita buat adalah minta supaya ahli-ahli terus mencari dan meyakinkan ahli keluarga terdekat saudara mara dan sebagainya untuk bersama dengan PAS,” kata ADUN Beserah, Andansura Rabu. 

Menurutnya lagi, penambahan ahli hingga ke peringkat akar umbi dapat memastikan PAS akan terus bergerak di masa akan datang. 

Beliau mengharapkan lebih ramai lagi rakyat sedar dan nampak dengan suasana hari ini di mana PAS memainkan peranan dan berkebolehan serta berkeupayaan untuk memimpin dan memerintah negara.

Kempen ini mensasarkan seramai 1,000 orang dalam tempoh satu bulan di mana setiap setiap PAS Cawangan perlu mencari dan mendaftar seramai 31 ahli baharu dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan rakan-rakan.

Taklimat yang berjalan selama satu jam setengah telah disampaikan oleh Setiausaha PAS Kawasan Indera Mahkota, Mohd Johari Yahya dihadiri seramai 96 petugas di atas talian. 

Beliau juga mengharapkan agar PKP 3.0 tidak menjadi halangan untuk bergerak, malah memanfaatkan jaringan media sosial sebagai alat penghubung untuk bertanyakan khabar kesihatan dan keperluan semasa akibat pandemik, sebagai antara langkah gerak kerja. 

Dalam taklimat tersebut beliau menyeru agar semua pihak sama ada pimpinan cawangan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencari dan mendaftarkan seramai mungkin ahli baharu. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -