PAS Sabah sambut baik kempen Sifar Pandemik Covid-19

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

Oleh MUSTAMAN MUSTAIN

SANDAKAN:
PAS Sabah menyambut baik inisiatif diusahakan oleh kerajaan negeri yang telah melancarkan kempen Sifar Pandemik Covid-19 sebagai penanda aras baharu bagi mencapai angka kes sifar harian dengan kadar segera dalam masyarakat.

Setiausahanya, Dr Aliakbar Gulasan berkata kerajaan negeri dilihat bersungguh-sungguh mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat.

- Advertisement -

“Pelbagai agenda telah digerakkan bagi memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat, ia termasuklah dengan mengusahakan kempen ini yang mendapat kerjasama Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambahnya yang juga ADUN Sabah itu, hubungan baik yang wujud antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat di bawah Perikatan Nasional (PN) menatijahkan pelbagai program yang direncanakan demi kesihatan rakyat berjalan dengan lancar.

“Faktor kelancaran ini juga dipengaruhi oleh kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang tidak terlalu bermain politik ketika rakyat menghadapi krisis hari ini sebaliknya memberi tumpuan yang penuh dalam membendung wabak Covid-19.

“Ini termasuklah membantu masyarakat dalam aspek kebajikan rakyat dan terkini bagi menjayakan kempen vaksinasi sehingga Sabah mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah melancarkan kempen Sifar Pandemik Covid-19 Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Majlis perasmian disempurnakan bersama Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -