Lelaki beri minuman dipercayai arak kepada bayi ditahan

- Advertisement -

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman video menunjukkan seorang bayi diberi minuman alkohol yang tular di media sosial hari ini, dipercayai berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 19 tahun yang merupakan bapa kepada bayi itu ditahan di Teluk Bahang pada pukul 1.30 tengah hari, selepas polis menerima laporan berhubung video berkenaan.

- Advertisement -

Beliau berkata video berdurasi 30 saat memaparkan seorang lelaki yang dilihat memberi minuman tin dipercayai arak kepada seorang bayi itu menjadi tular di media sosial hari ini, mengundang kemarahan ramai anggota masyarakat.

“Berikutan itu, polis menahan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau bayi lelaki berusia lima bulan itu telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kamarul Rizal berkata siasatan mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan dia juga merupakan orang pengawasan polis (OPP) di kawasan Teluk Bahang.

Beliau berkata lelaki itu akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BERNAMA

- Advertisement -