Kerjasama berkesan penting tangani krisis Covid-19

Datuk Seri Dr Adham Baba
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 memperlihatkan betapa pentingnya solidariti global dan kerjasama antarabangsa dalam menangani krisis, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bercakap pada pelancaran Program EU-ASEAN untuk Menyokong Tindak Balas Covid-19 di Malaysia pada Selasa, beliau berkata perkongsian yang baik dan berkesan amat berharga sepanjang pandemik ini bagi memastikan negara berupaya menanganinya.

“Untuk memulakan perkongsian dengan EU-ASEAN-WHO sangat bertepatan dengan keadaan dan penting pada waktu krisis.

- Advertisement -

“Ini membolehkan kita menjalin pakatan, mempromosikan kepelbagaian dan berkongsi kepentingan dan nilai bersama untuk memperkukuh persiapan kedua-dua wilayah, dan keupayaan menangani keadaan darurat kesihatan pada masa sekarang dan akan datang,” katanya.

Malaysia juga berterima kasih atas sumbangan kewangan EU-ASEAN dalam menerajui projek ini, dan akan memanfaatkan urusan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan rakan dari kementerian lain serta pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah memberi Malaysia peluang dan menyelaraskan kemajuan serta pelaksanaan projek ini.

Kementerian juga gembira bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk memperkukuh persiapan kecemasan dan keupayaan sistem kesihatan secara keseluruhan, khususnya dalam pengurusan dan tindak balas Covid-19.

“Pada akhirnya, kita semua berperang melawan musuh yang sama, dengan solidariti dan kerjasama serantau yang baik, kita akan memenangi pertempuran ini,” katanya.

Dr Adham menyatakan dalam penilaian bersama External Evaluation (JEE) International Health Regulation Capacities mengenai keupayaan keselamatan kesihatan Malaysia pada akhir 2019, negara ini telah menunjukkan tahap pencapaian memberangsangkan dalam memenuhi syarat IHR dan memiliki sistem keselamatan kesihatan yang dibangunkan dengan baik.

Menurut Dr Adham penilaian tersebut telah mengenal pasti jurang dan keutamaan keperluan serta peluang untuk meningkatkan kemampuan negara dalam mencegah, mengesan dan menangani keadaan darurat kesihatan masyarakat, memperkukuh keselamatan kesihatan Malaysia, selain penyediaan dan kemampuan tindak balas pelbagai sektor untuk darurat kesihatan.

Beliau berkata sejak program imunisasi dimulakan di seluruh negara pada Februari tahun ini, Malaysia berjaya memvaksin 4.3 juta penduduknya dengan dos pertama.

“Kita bertindak cekap dalam memvaksinasi, tidak hanya tertumpu kepada barisan hadapan tetapi juga  warga emas, dengan lebih 50 peratus daripada mereka berusia lebih 60 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Ketika kita mempercepat kadar vaksinasi dan mematuhi langkah-langkah kesihatan masyarakat sedia ada, kita berharap dapat melandaikan lekuk wabak. Tambahan lagi ia membolehkan kita bergerak maju untuk menerapkan strategi untuk kita bebas secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut mengentengahkan mengenai Pelan Pemulihan Negara, yang mempunyai empat fasa, dirancang berdasarkan tiga indikator, iaitu jumlah jangkitan Covid-19 harian dalam kalangan masyarakat, kemampuan sistem penjagaan kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU), dan peratusan penduduk yang telah lengkap dos vaksin. – BERNAMA

- Advertisement -