Inisiatif untuk industri sukan

- Advertisement -

JADUAL saya semalam dimulakan dengan perbincangan bersama YBM Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan dalam usaha membantu para pemain industri sukan. Saya tahu ramai yang susah hati. Saya baca setiap komen, pandangan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakan-rakan industri sukan di semua platform media sosial saya. Satu persatu saya teliti. 

Ini merupakan sebahagian daripada engagement berterusan yang dilakukan oleh KBS bersama pihak Perbendaharaan dalam melihat pendekatan yang boleh membantu rakan-rakan industri sukan. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan pemain industri yang terus-menerus memberi pandangan konstruktif di samping turut memahami situasi semasa kawalan penularan COVID-19 yang sedang kita laksanakan. Sebagaimana hasrat semua untuk melihat industri sukan kita revive, begitulah juga hasrat saya.

Ada juga rakan industri sukan yang membantu dengan menjalankan survey bagi mendapatkan maklum balas di peringkat akar umbi. Saya juga sempat mengikuti pelbagai perbincangan yang dibuat secara maya sama ada melalui Facebook Live, Zoom atau perbincangan aplikasi Clubhouse mengenai industri sukan. Malam tadi pun saya sempat mendengar perbincangan Visi Sukan Negara 2030 di Clubhouse berkenaan hal ini. 

- Advertisement -

Input-input yang diterima ini saya garapkan sebagai intipati utama dalam memuktamad pembentangan kepada pihak Perbendaharaan. Beberapa cadangan bersifat intervensi dan rehabilitasi industri sukan telah dikemukakan dan disesuaikan dengan garis masa Pelan Pemulihan Negara yang akan dilaksanakan mengikut fasa-fasa yang ditetapkan seperti mana pengumuman oleh YAB Perdana Menteri.

Alhamdulillah, pihak Perbendaharaan menerima dengan baik cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh KBSInsya-Allah, saya akan kongsikan pengumuman berkaitan tidak lama lagi. Ia diharap dapat mengurangkan sedikit beban serta memberi kelegaan terhadap kesulitan sedang ditanggung oleh pemain industri.

YB DATO’ SRI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Belia dan Sukan – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -