Fokus tumpaskan Covid-19, bukan propaganda politik

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik menumpukan usaha dan fokus bagi mencari formula memberhentikan pandemik Covid-19 sebelum merancang mengumpulkan perakuan berkanun (SD).

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata pihaknya melihat ada usaha-usaha pihak tertentu dalam kalangan ahli Parlimen mengumpul perakuan berkanun untuk menjatuhkan kerajaan dan berebut kuasa menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, cadangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong jelas agar semua pihak berusaha menurunkan ketegangan suhu politik, mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah Covid-19 yang wajar diberi keutamaan dan perhatian serius.

“Cukuplah ahli politik membuat propaganda dan merancang untuk menjatuhkan kerajaan dan menukar Perdana Menteri.

“Rakyat sudah letih dengan kegawatan politik yang tidak berkesudahan setiap kali sesi Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jika Covid-19 sudah dapat dihentikan, aktiviti rakyat dan ekonomi sudah dapat dipulihkan seperti biasa, maka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan dan rakyat diberi pilihan untuk memilih kerajaan. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -