Desak PRU segera ‘wabak berbahaya’ kepada rakyat

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Para pemimpin parti pembangkang yang mendesak Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera ini sebenarnya ‘wabak berbahaya’ kepada rakyat dan perlu diambil tindakan tegas dan segera, kata Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Menurutnya, pelbagai tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada golongan berkenaan menerusi Ordinan Darurat dan undang-undang berkaitan sebagai pengajaran kepada yang lain untuk berwaspada dengan tindakan dan ucapan mereka pada masa akan datang.

- Advertisement -

Kata beliau, ketamakan kuasa pemimpin parti pembangkang telah menghumban tampuk kepimpinan Malaysia yang mereka takluk suatu ketika dahulu ke arah kerosakan keseluruhan negara ini.

Tambahnya, tindakan mereka mengkhianati amanah rakyat mencetuskan pergelutan dalaman gabungan Pakatan Harapan (PH) sehingga kedudukan mereka tersingkir sebagai kerajaan akibat perbuatan khianat antara satu sama lain dalam parti berkenaan.

Bagaimanapun, pelbagai cubaan untuk mendapatkan kembali kuasa pemerintahan Putrajaya tidak pernah pudar sebagai matlamat utama mereka meskipun nyawa dan keselamatan rakyat menjadi taruhan, jelasnya.

“Ketika rakyat menderita akibat wabak Covid-19, pemimpin pembangkang dengan bangganya umumkan cukup nombor membentuk kerajaan dan serangan-serangan berterusan kepada pentadbiran negara,” katanya.

Ujarnya yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), pemimpin parti pembangkang sewajarnya mengenepikan ketamakan kuasa serta politiking buat sementara waktu dan berganding usaha dengan kerajaan membela kebajikan rakyat dalam tempoh negara kini berhadapan krisis dan wabak berjangkit itu.

“Hentikanlah provokasi kepada kerajaan yang bertungkus lumus menangani wabak Covid-19 dan membantu membela kebajikan rakyat.

“Pemimpin-pemimpin parti pembangkang jangan lupa bahawa rakyat sedang menilai tindak- tanduk mereka yang memualkan kerana berpolitik sepanjang masa berbanding menjaga kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa tempoh moratorium politik ketika ini mampu meredakan ketegangan dan kemelut semua pihak melibatkan perebutan kuasa untuk menjadi kerajaan.

Justeru, beliau mengingatkan mereka agar tidak mencetuskan sebarang krisis politik baharu sehingga mengganggu kehidupan rakyat yang sedang bergelut dengan kehilangan pendapatan, ekonomi tidak stabil serta emosi yang terganggu akibat wabak Covid-19 sepanjang tempoh berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -