‘Kami dah pesan elakkan berhimpun, tapi…’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Petugas barisan hadapan sentiasa mengingatkan masyarakat agar menangguhkan dahulu sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, namun perkara tersebut seperti tidak dipandang serius beberapa pihak setelah jangkitan dalam keluarga di negeri ini masih berlaku.

“Jika melibatkan beberapa keluarga terkena jangkitan, seolah-olah masih berlaku pertemuan antara beberapa keluarga. Padahal kita pesan banyak kali supaya tangguh dulu aktiviti ziarah-menziarahi walaupun sesama keluarga.

- Advertisement -

“Kluster Beladau Selat dan Kluster Tg Ketum dari Mukim Serada adalah antara dua kluster terbaru Terengganu.

“Kedua-dua Kluster ini masih berkisar kepada jangkitan dalam keluarga besar. Ia kemudiannya menjangkiti rakan sekerja dan kontak sosial,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini Kluster Tanjung Ketum melibatkan lapan buah keluarga dan turut merebak kawasan kejiranan, masjid dan akhirnya ke dua tempat kerja.

“Seramai 668 orang disaring termasuk saringan bersasar di kampung tersebut. Hasilnya seramai 50 kes positif dikesan sehingga ke generasi kelima.

“Kluster Beladau Selat pun sama. Melibatkan lima keluarga termasuk keluarga jiran. Juga merebak ke dua tempat kerja. Seramai 25 kes positif dikesan hingga ke generasi keempat dan kontak rapat seramai 114 orang,” jelasnya

Tegas Nor Azimi, orang ramai sekali lagi digesa terus serisu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengelakkan diri daripada berhimpun walaupun atas niat yang baik kerana Covid-19 terlalu aktif dalam suasana itu.

“Jika penularan masih berlaku di tempat kerja bermaksud pematuhan SOP di tempat kerja kurang atau tiada,” ujarnya.

Tambah beliau, situasi Covid-19 di Terengganu hanya boleh disahkan berjaya dikawal sepenuhnya sekiranya kes positif harian dilaporkan satu digit dan tiada kluster baharu direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Sehingga saat itu Terengganu masih belum ‘menang’ apatah lagi empat kes varian baharu varian Beta (B.1.351) telah dikesan di negeri ini,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -