Berdepan Covid-19, cukuplah berfikir hendak dapat kuasa

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Semua Ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang diingatkan berhenti memikirkan cara atau langkah untuk mendapatkan kuasa sepanjang tempoh negara berdepan krisis akibat pandemik Covid-19 ini, kata Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Najihatussolihah Ahmad.

- Advertisement -

Jelasnya, beliau hairan melihat sebahagian daripada pemimpin politik Malaysia yang tidak berhenti bermain politik untuk merebut kuasa di kala seluruh dunia berhadapan dengan wabak berjangkit itu.

“Kita sudah lihat bagaimana kesan pilihan raya yang berlaku di Sabah pada tahun lepas yang telah mengakibatkan kes pandemik Covid-19 meningkat secara mendadak selepas pasca Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jadi buat masa ini saya nasihatkan semua Ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan ataupun pembangkang, cukup-cukuplah memikirkan untuk mendapatkan kuasa dalam keadaan sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung khabar angin berkenaan usaha pihak tertentu yang mengumpulkan perakuan berkanun (SD) bertujuan mendapatkan sokongan untuk menukarkan kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).

Najihatussolihah berkata, pihaknya menghormati negara yang mengamalkan sistem demokrasi, namun buat masa ini seluruh rakyat sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 di mana kes masih lagi berada dalam jumlah yang tinggi.

“Walaupun berlaku sedikit penurunan tetapi saya tidak beberapa yakin ia akan terus menurun kerana memandangkan jumlah itu masih lagi turun naik, lebih baik semua pihak khususnya Ahli Parlimen parti pembangkang untuk bersama-sama dengan kerajaan menunjukkan solidariti dan memaksimakan upaya, segala tindak tanduk dari segi tindakan, buah fikiran untuk membantu kerajaan menangani permasalahan yang kita hadapi pada hari ini.

“Tidak salah kalau nak diadakan sidang parlimen awal tetapi adalah bertujuan untuk kita memberikan pandangan, solusi ke atas perkara-perkara yang sedang dihadapi oleh negara.

“Kita mahu mendengar pandangan-pandangan semua pihak sama ada daripada parti kerajaan ataupun parti yang bukan kerajaan. Itu yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -