Banteras Covid: Usah sibuk tukar kerajaan, kumpul SD

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik pembangkang digesa memberikan fokus dalam usaha untuk membanteras Covid-19 di negara ini berbanding terlibat dalam agenda politiking.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad turut menyeru semua pihak agar tidak memainkan sebarang sentimen berbaur politik yang mampu menggugat kestabilan politik serta negara.

“Kita minta supaya semua pihak bertenang dan menumpukan perhatian kepada soal untuk kita memenangi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Tak perlulah nak sibuk-sibuk kononnya nak tukar kerajaan, nak kumpul SD (perakuan berkanun) dan sebagainya kerana apa yang penting sekarang ialah kebajikan dan keselamatan rakyat mesti diutamakan,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Menurut beliau lagi, tempoh darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bermula 12 Januari lalu hingga 1 Ogos nanti bukan waktu yang sesuai untuk mana-mana pihak melakukan pelbagai gerakan agenda politik.

Katanya, ahli-ahli politik perlu peka dan prihatin dengan keadaan serta perkembangan semasa rakyat yang kian dihimpit pelbagai kekangan akibat penularan pandemik berjangkit berkenaan.

“Ini bukan masanya lagi, kasihan kepada rakan-rakan kita terutama yang berkhidmat di sektor kesihatan yang bertungkus lumus untuk memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.

Ujarnya, pilihan raya umum (PRU) boleh diadakan sejurus tamat tempoh darurat serta keadaan negara kembali stabil sepertimana yang dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengisytiharan darurat pada Januari lalu.

“Selepas daripada ini kita bertarunglah dalam pilihan raya, kita kempenlah betul-betul, kita serah mandat kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka suka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

- Advertisement -