Ubah suai kereta seludup petrol ke negara jiran

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN & RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 450 liter minyak petrol di kawasan Pengkalan Haram Dock di sini semalam.

Minyak petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu menggunakan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

Rampasan berkenaan dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pada jam 11.30 malam.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan ketika melakukan rondaan di situ.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi itu, kelihatan kereta berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok.

“Pemandu kereta itu menyedari kehadiran anggota penguat kuasa sebelum bertindak melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan 18 tong plastik di tempat duduk penumpang yang diubahsuai agar membolehkan membawa lebih muatan,” katanya pada kenyataan semalam.

Menurut Azanizam Affendi, selain minyak petrol, pihaknya turut menyita kereta tersebut yang dipercayai bernilai RM5,000. Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya mematahkan usaha menyeludup barangan dari Thailand ke negara ini yang bernilai RM28,137.

Aktiviti itu dikesan apabila beberapa individu sedang memunggah sejumlah guni dari sebuah bot ke sebuah kereta di tebing Sungai Golok, tergendala apabila diserbu pihak berkuasa semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian pada jam 5.45 pagi, penyeludup bertindak melarikan diri menggunakan perahu menuju ke negara jiran.

Bagaimanapun kataya, mereka meninggalkan bungkusan yang sempat dipindahkan ke dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.

“Hasil pemeriksaan mendapati guni itu mengandungi paket makanan burung pelbagai jenama, tali hidung lembu, loceng leher lembu serta penyangkut sangkar burung dianggarkan bernilai RM28,137,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sebelum itu anggotanya ternampak beberapa lelaki sedang mengangkat guni dari dalam bot ke sebuah kereta ketika meronda di sekitar kawasan Pangkalan Haram Tanjung, Pengkalan Kubor.

“Anggota PGA7 cuba menghampiri kenderaan itu dan kesemua lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki perahu ke negara jiran.

“Kami menunggu selama 30 minit di lokasi, namun tiada individu datang menuntut kereta terbabit,” katanya.

Kata beliau hasil pemeriksaan lanjut menjumpai beberapa guni mengandungi 1,860 paket makanan burung pelbagai jenama, tali hidung lembu (900), loceng leher lembu (250) serta penyangkut sangkar burung (440).

Azhari juga berkata, pihaknya percaya semua barangan itu diseludup ke negara ini dari Thailand.

Tambah beliau, semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompani Taktikal Kuala Jambu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -