Tiada istilah penat pasukan urus jenazah Covid-19

- Advertisement -

SEREMBAN: Bagi pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), tidak ada istilah penat dalam kamus harian mereka, khususnya kebelakangan ini yang menyaksikan 221 jenazah diuruskan setakat semalam untuk tahun ini, berbanding hanya 12 kes sepanjang tahun lepas.

Menurut Pengarah JHEAINS Datuk Mohd Zaidi Ramli, mereka menguruskan sekurang-kurangnya lima jenazah Covid-19 setiap hari dengan paling tinggi setakat ini ialah 12 kes beberapa hari lepas.

- Advertisement -

“Setiap hari memang tidak kurang daripada lima jenazah yang kami perlu uruskan. Justeru, istilah penat memang tidak ada. Sekalipun waktu tengah malam, pasukan ini bermandi peluh di dalam PPE (pakaian perlindungan diri), bagi memastikan jenazah dikebumikan secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.

 “Kalau ada jenazah baharu mereka akan pakai PPE sama sebab kita terpaksa jimat, kadang-kadang pukul tiga pagi ada seorang meninggal, dan kemudian pukul empat pagi ada lagi seorang, sebab tu pegawai saya di bahagian forensik ada yang pakai PPE sama selama dua ke tiga jam,” tambahnya.

Beliau berkata pasukan itu yang mempunyai 12 anggota diletakkan dalam mod siap siaga 24 jam setiap hari, dengan empat orang ditempatkan di bahagian forensik hospital bagi menjalankan urusan tayammum, kafan dan solat jenazah, manakala lapan lagi untuk menguruskan pengebumian.

Menurutnya keadaan panas di dalam PPE merupakan antara cabaran utama petugas, khususnya jika jenazah diuruskan pada waktu siang dalam cuaca panas kerana mereka berisiko terkena strok haba.

Waktu malam pula memerlukan pencahayaan yang banyak dan keadaan bertambah sukar jika hujan lebat, katanya, menambah kesemua 12 petugas itu menjalani latihan untuk menguruskan jenazah Covid-19.

Pada masa sama, menyedari kaum keluarga tidak dapat hadir pada pengebumian, JHEAINS katanya mengambil insiatif membuat siaran langsung melalui laman Facebook rasmi jabatan agar waris dapat “menghantar” ahli keluarga mereka dalam perjalanan terakhir itu.

Sementara itu, beliau berkata kebanyakan jenazah berisiko Covid-19 di Seremban dikebumikan di kawasan yang dikhaskan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said dengan kapasiti 99 jenazah.

Namun katanya kawasan itu telah ditutup kerana kapasiti yang dikhaskan telah penuh.

“Oleh itu, satu lagi tanah perkuburan iaitu di Ainsdale mula digunakan pada 17 Jun lepas untuk mengebumikan jenazah pesakit wabak berkenaan dan setakat semalam, enam jenazah telah dikebumikan di situ,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -