Surat terbuka buat YB Menteri Pendidikan

- Advertisement -

KE HADAPAN

YB Datuk Dr Radzi Jidin,
Menteri Kanan Pendidikan,
Kementerian Pendidikan Malaysia.

Assalamualaikum YB Datuk,

- Advertisement -

UTAMAKAN PENEMPATAN UNTUK GRADUAN PENDIDIKAN 

Kami dengan suka citanya menyambut baik hasrat KPM melalui pengumuman oleh YB Datuk hari ini berkaitan pengambilan guru baharu untuk KPM. Namun demikian di sebalik berita gembira tersebut tersebut kenyataan walaupun ringkas tetapi agak mendukacitakan buat kami sebagai seorang pensyarah program pendidikan di universiti Pendidikan Nombor 1 di Malaysia iaitu pengambilan guru bukan daripada program Ijazah Pendidikan atau Ijazah Dengan Pendidikan dari 13 Universiti Awam (UA).

Untuk makluman YB Datuk, graduan Pendidikan Universiti awam Malaysia telah dilatih berdasarkan Objektif Pendidikan Program, Hasil Pembelajaran Program dan Hasil Pembelajaran Kursus berdasarkan Standard Pendidikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) selama 4 tahun. Graduan pendidikan ini ditapis menggunakan Malaysia Educators Selection Inventory (MEdSI) dan kemudian ditemuduga untuk menjadi seorang calon Program Ijazah Pendidikan UA. 

Kemudian mereka melalui 30 kredit kursus Profesional Pendidikan, 21 kredit Kursus Umum Universiti, 58-62 kursus major program, 21 kredit kursus minor, 9 kredit kursus elektif bebas dan 10 kredit bagi Latihan Mengajar (merangkumi Program Perantis Guru dan Latihan Mengajar). Walaupun terdapat sedikit perbezaan kurikulum di antara UA awam namun kesemua Graduan Pendidikan ini mempunyai minat, pengetahuan, kemahiran, dan sikap profesionalisme sebagai seorang pendidik selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

Graduan Pendidikan ini menguasai segala aspek kurikulum Abad ke-21, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan juga semua elemen di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terkini. Dengan semua pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan sebagai seorang pendidik mereka juga mempunyai kompetensi teknologi, pedagogi, pengetahuan dan isi kandungan berkaitan mata pelajaran mereka di sekolah yang melibatkan major dan juga minor. 

Walaupun kita diuji dengan pandemik COVID-19 dan revolusi industri yang memerlukan pengalaman industri bagi melahirkan murid yang mempunyai aspirasi yang dihasratkan di dalam PPPM kami percaya dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat graduan Pendidikan UA mampu terus meningkatkan kemahiran mereka khususnya berkaitan praktis di industri. 

Kami percaya dengan kebijaksanaan YB Datuk sebagai Menteri Kanan Pendidikan dapat memastikan bakat terbaik sahaja menjadi pendidik kepada generasi baharu Malaysia. Dengan segala kompetensi yang ada pada graduan pendidikan di Malaysia kami percaya mereka akan membantu membentuk generasi baharu negara Malaysia bangkit semula menjadi Harimau Asia. Dengan itu, sistem pendidikan di Malaysia akan terus cemerlang membina negara tercinta ini.

Salam sayang daripada:

PROF MADYA DR RIDZWAN CHE’ RUS,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
UPSI No 1 Pendidikan – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -