KEBIMBANGAN mengenai penularan wabak COVID-19 di kalangan warga pendidik dan pelajar-pelajar sekolah bukanlah perkara baru. Sejak tercetusnya wabak berkenaan pada bulan Mac tahun lalu, para guru dan rakan-rakan sekelas pelajar merupakan individu yang berisiko tinggi dijangkiti dan menjangkiti virus tersebut.
Meskipun pihak pengurusan sekolah telah melaksanakan SOP yang ketat ketika sesi persekolahan berjalan, namun kluster-kluster sekolah tetap juga muncul. Contohnya, mengenai laporan penutupan 19 buah sekolah di Selangor serta mengenai sejumlah 259 pelajar di Kelantan dijangkiti dalam tempoh dua minggu di antara bulan Mac dan April yang lalu.
Oleh itu, saranan YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan supaya para guru dan kumpulan pelajar khususnya di Tingkatan 5 dan 6 yang masing-masing akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM perlu diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin adalah amat munasabah. Ini kerana ada ketika tertentu para pelajar berkenaan dikehendaki hadir ke sekolah secara bersemuka untuk mengikuti kelas pengajian harian, manakala pada masa yang lain pula mereka mesti menjalani ujian berkaitan peperiksaan seperti ujian lisan ataupun ujian amali di makmal sains.
Selain dari sekolah di bawah seliaan KPM, pihak KPM serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengetuai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga perlu membuat pertimbangan untuk turun ke Sekolah-sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) bagi melaksanakan proses vaksinisasi kepada para pelajar SPM, STPM serta STAM yang belajar di sana. Usah dilambat-lambatkan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut kerana mereka juga merupakan kumpulan berisiko dijangkiti oleh COVID-19.
Secara keseluruhan, enrolmen para pelajar di SMAR dan SMAN pada tahun 2020 adalah seramai 69,286 orang. Manakala bilangan guru pula adalah seramai 5,926 orang. Data bilangan pelajar sekolah agama dan guru-guru berkenaan adalah merujuk kepada Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seperti yang tertulis di dalam laporan Quick Fack 2020, Statistik Pendidikan Malaysia KPM. Walau bagaimanapun, bilangan ini belum lagi termasuk jumlah pelajar SMA persendirian iaitu seramai 9,221 orang mengikut laporan daripada Bahagian Pendidikan Swasta, KPM.
Sekiranya pihak KPM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dapat bekerjasama dengan pihak JAIN bagi merealisasikan hasrat mempercepatkan proses vaksinisasi di institusi pendidikan SMAR dan SMAN, maka igauan buruk kemunculan kluster-kluster sekolah agama atau madrasah dapat dihindarkan. Begitu juga jika pihak pemegang taruh di dalam institusi pendidikan agama seperti Lembaga Pengelola Sekolah dapat bertindak sebagai pemudah cara yang efektif, maka proses vaksinisasi di sekolah-sekolah ini akan berjalan licin dan lancar.
Apabila peratusan penerima suntikan vaksin di kalangan pelajar meningkat, maka tahap kebolehjangkitan COVID-19 di antara mereka kian menurun. Itulah teori yang rasional buat masa ini dan ia merupakan satu perisai diri serta ikhtiar pencegahan. Bak kata ucapan masyhur ‘Mencegah itu lebih baik dari merawat’.
DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/6/2021