Penduduk di lokasi banjir diutama suntik vaksin

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN
Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Kerajaan Kelantan akan mengutamakan suntikan vaksin kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir menjelang akhir Oktober depan.

Ia bagi mengelak berlaku jangkitan di pusat-pusat pemindahan banjir ketika musim tengkujuh.

Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, apabila berlaku jangkitan di pusat pemindahan sementara (PPS) ia boleh mendatangkan masalah kepada program vaksinasi.

- Advertisement -

“Saya merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan sebanyak 550,000 dos bekalan vaksin akan dibekalkan kepada Kelantan bulan depan,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan sumbangan 560 pek bekalan makanan termasuk lauk basah kepada penduduk Kampung Kutan Tengah yang dikenakan sekatan Perinta Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini semalam.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan mengutamakan warga emas serta mereka yang berada dalam kawasan PKPD menerima suntikan vaksin pada Julai ini.

Kata beliau program itu dapat direalisasikan menerusi program Outreach Vaksinasi dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut hadir pada program berkenaan ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Adun Pengkalan Kubor Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Adun Wakaf Bharu Mohd Rosli Abdullah.

Selain itu Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Ketua Jajahan Tumpat Rusydee Abdullah.

Tahun lepas pengurusan PPS di Kelantan melaksanakan normal baru dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid dalam kalangan mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -