PDK dijadi tempat program vaksinasi OKU

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

PASIR MAS:
Bagi memperluaskan program vaksinasi di Kelantan, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) turut dijadikan sebagai lokasi Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

Di jajahan ini empat PDK iaitu PDK Kasturi, PDK Suria Mas, PDK Syakirin dan PDK Nur Ilham dijadikan sebagai tempat vaksinasi untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas, Dr Najihah Mahfuzah Zakria berkata, keutamaan diberikan kepada golongan tu kerana mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan.

- Advertisement -

Selain itu katanya cenderung kepada komplikasi sekiranya dijangkiti disebabkan limitasi keupayaan yang dialami golongan terbabit.

“Apa yang penting untuk mewujudkan safe bubble dalam kalangan mereka,” katanya ketika ditemui pada program tersebut baru-baru ini.

Pada program berkenaan seramai 200 pelatih OKU, pengajar dan penjaga divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok di PDK terbabit.

Sementara itu seorang petugas Muhammad Anas Safwan Madzlan, 25, berkata, beliau berperanan menenangkan 25 ‘anak istimewa’ untuk divaksinasi di PDK Nur Ilham, Tendong.

Katanya usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua pelajar istimewa disambut dengan suasana gembira sebelum menerima suntikan vaksin.

“Saya memulakan tugas seawal jam 7.45 pagi bersama tiga lagi rakan setugas termasuk seorang penyelia mesra menyantuni pelajar berusia 18 hingga 35 tahun yang menghidap sindrom down, autisme dan masalah pembelajaran.

“Sebelum meeka hadir ke program tersebut, kami menelefon dan meyakinkan setiap keluarga untuk membawa anak mereka ke program vaksinasi dan ada keluarga pada awalnya menolak.

“Namun selepas mendengar penerangan, mereka akur demi keselamatan anak istimewa terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Anas bersyukur semua anak istimewa tersebut menerima suntikan vaksin dengan baik tanpa rasa takut, biar pun ada segelintir yang perlu ditenangkan terlebih dahulu.

Menurutnya juga ada antara mereka menangis apabila melihat jarum dipegang petugas kesihatan.

“Ada juga yang memeluk saya sejurus divaksinasi dan mengadu sakit namun selepas dipujuk mesra mereka kembali tenang, tersenyum dan pulang dengan gembira,” katanya yang sudah tiga tahun berkhidmat di PDK tersebut. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -