Kompleks Agro Bazar Lojing atasi lambakan hasil pertanian

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) berharap kerajaan mempercepatkan cadangan membina Kompleks Agro Bazar Lojing Highlands bagi mengumpul dan pemprosesan sayur-sayuran.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Yusup Abd Rahaman pembinaan kompleks itu sebagai pemangkin ke arah menaikan imej dan potensi Lojing sebagai pusat pengeluaran makanan negara yang holistik.

- Advertisement -

Beliau berkata, pembinaan kompleks itu dianggar bernilai RM30 juta di kawasan seluas lapan hektar dapat meningkat pasaran hasil pertanian secara meluas dan menyeluruh.

Selain itu kata beliau dapat mengelak kerugian dan lambakan sayur yang banyak di kawasan pertanian tanah tinggi terbabit.

“Ini kerana Lojing merupakan kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang menyumbang pengeluaran hasil pertanian tanah tinggi serta mencapai pengeluaran yang banyak setiap tahun.

“Selain itu Lojing mengeluarkan 380 metrik tan sayur sehari dan sudah tiba masanya proses berkenaan dilaksanakan di Kelantan bagi meningkat strategi pasaran,” katanya pada sidang media pejabatnya di Jalan Sultanah Zainab di sini hari ini.

Semalam Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob memberitahu kerajaan negeri bersetuju meneliti cadangan penubuhan pusat pengumpulan hasil pertanian di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang.

Ia sebagai langkah pengurusan yang lebih teratur sekali gus menangani isu berulang berkaitan lambakan hasil pertanian.

“Alhamdulillah kami mengucap terima kasih atas kesedian kerajaan negeri mengkaji permohonan itu. Jadi kita berharap kerajaan dapat membina kompleks tersebut secepat mungkin di lokasi yang sesuai di Lojing.

“Cadangan serupa sudah dibuat kepada Lembaga Pemasaran dan Pertaninan (FAMA) pada Oktober tahun lepas,” katanya.

Sehingga sekarang hasil pertanian di Lojing dikumpulkan di pusat pengumpulan di Kampung Raja Cameron Highlands. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -