Kelantan sedia kongsi kejayaan tadbir negeri

Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan memanfaatkan pelbagai media dan medium bagi mengetengah kejayaan kerajaan negeri sejak ditadbir PAS pada Oktober 1990 sehingga sekarang.

Usaha itu dilakukan secara berterusan sejak dahulu sehingga sekarang termasuk melalui Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN), Harakah dan laman-laman berita.

Ketua Penerangan PAS negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan itu sebelum ini dikongsi melalui pelbagai medium milik kerajaan negeri dan PAS untuk dikongsi rakyat di seluruh negara.

- Advertisement -

Katanya, biarpun perkara itu sudah lama dilaksanakan namun kaedah promosi perlu diulang-ulang bagi membolehkan ia disebarkan secara meluas.

Malah kata beliau pada 10 tahun pertama kerajaan Kelantan berjaya merintis 100 perubahan terutamanya perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kerajaan Kelantan melakukan perubahan awal berkaitan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBT menguatkuasa peraturan melarang premis perjudian dengan tidak mengeluarkan lesen premis sejak awal 1990-an.

“Begitu juga hiburan yang melampau tidak dibenarkan. Penguatkuasaannya di bawah bidang kuasa PBT. Kelantan juga mempunyai Enakmen Kawalan Hiburan,” katanya di sini.

Konvensyen Penerangan dan Media Baru PAS Pusat Sabtu lepas mahu usaha mempromosikan kejayaan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Kerajaan Persekutuan dilakukan melalui pelbagai platfom media dan organisasi parti.

Resolusi juga meminta setiap ahli PAS memperbanyakkan perkongsian bahan penerangan dalam Harakah dan Harakahdaily serta lain-lain media online PAS kepada khalayak awam.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, ahli-ahli PAS hendaklah beriltizam untuk menjadi ejen penerangan yang berkesan dengan konsep semua ahli adalah ejen penerangan.

“Ia selaras dengan gesaan Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya setiap ahli dan penyokong perlu bertindak sebagai agen penerangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -