Jawatankuasa khas bukti kerajaan serius buka parlimen

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka semula persidangan parlimen dapat dilihat apabila sebuah jawatankuasa khas mengenainya dibentuk.

Jawatakuasa itu dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang bagi meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, langkah itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu minggu lepas.

- Advertisement -

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan segera membentuk jawatankuasa khas mengenainya.

“Langkah itu menggambarkan kerajaan sudah mengambil langkah sewajarnya dan tidak berbangkit kerajaan melewatkan persidangan parlimen,” katanya di sini.

Semalam Perdana Menteri memberitahu sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen bermula.

Menurutnya jawatankuasa itu membincangkan sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal dengan mengambil kira peraturan tetap yang ada sekarang.

Kata beliau kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya.

“Saya faham sangat-sangat dan saya dinasihatkan bukan sahaja oleh Menteri Undang-Undang, tetapi oleh Peguam Negara supaya tindakan kerajaan selari dengan apa yang ada dalam perlembagaan,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Muhammad Azmir juga berkata, rakyat sentiasa menyanjung tinggi titah baginda yang menekankan agar semua pihak dapat mewujudkan suasana tenang.

“Tidak semua perkara perlu dipolitikkan, kerana semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang perlu membantu usaha kerajaan dalam menjalankan program dan perancangan menangani wabak pandemik Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -