Berbanggalah wahai para lebai

GELARAN sangat berperanan dalam mewatakkan seseorang. Jika gelaran itu baik, maka gambaran baik akan melekat pada seseorang. Jika buruk, maka buruklah gambaran umum yang diterima. Dalam politik juga penting. Dengan gelaran atau gambaran yang diterima, seseorang akan membentuk persepsi terhadap setiap berita yang datang. Namun gambaran bukanlah watak sebenar melainkan terbukti benar.

Seseorang yang diwatakkan pemalas, mungkin mudah diterima sebagai pemalas jika ada gambar beliau tertidur disebarkan walaupun tidur itu biasa bagi semua orang. Seorang yang anti-Islam diwatakkan mesra Islam lalu disebarkan gambar bersimpuh di masjid dan berita membantu orang Islam. Demikian penting gelaran yang membentuk persepsi.

Advertisement

Orang PAS dilabel sebagai lebai atau walaun. Ia dipersepsikan dengan jumud dan taat tanpa hujah. Ia digunapakai oleh semua musuh PAS. Sebelum ini PAS dilabel dengan penunggang agama dan golongan suci. Label ini di persepsi dengan gambaran buruk. Ada musuh yang seronok sangat menggunakan label itu kepada PAS. Persoalannya adakah ia imej buruk?

Orang PAS patut berbangga dengan label lebai dan walaun. Ia sebenarnya imej baik. Cuma mereka yang sangat alergik dengan Islam melihat gelaran itu buruk. Gelaran itu jauh lebih baik dari ‘hancing’ dan khaDAP yang bermaksud khadam DAP. Ia jelas sesuatu yang buruk.

Sebelum ini orang PAS dilabel sebagai golongan suci. Ia dibawa dalam bentuk sindiran. Namun ternyata gelaran itu diperolehi dari musuh Nabi Luth. Jangan tanya saya apa hubungan mereka dengan kaum yang beramal dengan ‘Sodom’ ini. Yang saya tahu, millah kufur itu satu. Al-Quran merakamkan rancangan Kaum Musyrikin yang menentang Nabi Luth dalam surah an-Naml ayat 56:

“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Luth dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan ‘dirinya bersih suci’.”

Walaun adalah istilah untuk golongan mulia dan baik yang diberi Allah. Ia berasal dari golongan yang memberi ketaatan dan kesetiaan kepada Nabi dan Rasul. Dalam gerakan Islam, wala’ adalah disiplin yang menunjukkan taat. Ia menggambarkan watak orang baik-baik, begitu juga lebai.

Saya kongsikan definisi lebai dalam masyarakat yang diterima Kamus Dewan Bahasa:

Definisi: 1. orang yang tahu mengenai agama: Bibirnya bergerak-gerak bagai ~ membilang tasbih; 2. orang yang mengerjakan sesuatu yang bersangkutan dengan agama Islam; ~ kelarah Kl lebai yang busuk hati (suka mengumpat dan mencela orang); ~ ketayap lebai yang menyangka dirinya mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama tetapi sebenarnya tidak; ~ malang orang yang selalu sial; ~ penghulu Id penghulu agama dalam daerah; ~ pulut Kl = ~ tembolok lebai yang suka menerima jemputan kenduri tetapi enggan datang untuk beribadat; kelebaian (sifat, sikap, dan sebagainya) yang berkaitan dengan lebai: sikap hidup mereka yang ~ dan tidak moden itu. (Kamus Dewan Edisi Keempat).

Musuh berusaha melabelkan PAS dengan label yang buruk namun sebenarnya tanpa mereka sedari mereka sebenarnya mengakui dan mempromosi orang PAS sebagai orang baik. Anda tidak bangga jadi walaun dan lebai? Saya sangat berbangga dan bersyukur atas gelaran itu. Jangan sesekali melabel saya sebagai khaDAP atau hancingyang membawa maksud ‘kaki kencing’. Saya kurang berminat dengan gelaran buruk itu, tetapi nampaknya mereka berbangga dengan gelaran itu sebagaimana saya berbangga sebagai walaun dan lebai.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/6/2021