Ambilan 18,702 guru bakal legasi berharga Kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengambilan khas 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat merupakan peluang pekerjaan bagi graduan, demikian kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Terutama katanya, bagi para siswazah yang masih menganggur untuk memasuki alam pekerjaan sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

- Advertisement -

Menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Dato’ Dr Radzi Jidin terhadap pelaksanaan perkara tersebut merupakan satu berita gembira kepada rakyat Malaysia.

“Saya kira ia merupakan satu langkah berani kerajaan kerana ia melibatkan liabiliti kewangan yang besar, namun kita yakin ia telah diperhalusi terlebih dahulu dan dinilai dari semua aspek sebelum diumumkan. 

“Langkah tersebut juga menandakan bahawa kewujudan institut latihan perguruan masih lagi relevan dan tidak sewajarnya berdepan dengan penutupan atau penukaran fungsi seperti yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu. 

“Cumanya, saya suka mencadangkan agar isu-isu penempatan guru sedia ada dapat diselesaikan terlebih dahulu. Isu guru duka lara sebagai contoh, yang saya sentuh setiap kali perbahasan dewan, dari zaman Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

“Sehingga ke era Menteri hari ini, masih tidak diselesaikan secara tuntas. Apa kata, kita selesaikan penempatan ini terlebih dahulu barulah kita menerima kemasukan belasan ribu guru baru?

“Sistem Eg-Tukar saban tahun tetap juga menerima aduan yang tidak menyenangkan. Ya, untuk memuaskan hati semua pihak satu perkara yang mustahil, tapi mengurangkan sehingga ke tahap minimum saya fikir satu perkara yang boleh dicapai oleh KPM.

“Apapun, tahniah Menteri dan KPM. Menteri Kanan Pendidikan saya sifatkan seorang yang low profile, tidak gemar bertindak populis, namun jika angka hampir 19,000 ini berjaya dilaksanakan, ia bakal menjadi legasi berharga beliau dalam masa kurang dua tahun sebagai Menteri Pendidikan. 

“Jika parlimen dibuka, isu penempatan ini saya akan sebut dan letakkan sebagai keutamaan di nombor dua. Keutamaan pertama ialah isu tanah runtuh di Pasir Mas.

“Tentang persoalan bilakah ia bakal bersidang, kerajaan sedang menuju ke arah itu khususnya selepas titah Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -